Nasional

Objek dipercayai muntah ikan paus ditemui di Marang

SEORANG wanita menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM, Marang, Terengganu pada akhir November, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, Aida Zurina Long, 41, berkata, pada mulanya dia menyangka objek tersebut sampah tetapi ayahnya memberitahu itu adalah muntah ikan paus.

“Saya temui objek itu terapung kira-kira pukul 11 malam. Saya ingatkan sampah dan tarik benda itu dengan kayu sehingga ke tepi tebing.

“Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu, benda itu masih ada sebelum saya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Aida, dia sangat terkejut apabila ayahnya yang juga seorang nelayan memberitahu, objek yang ditemui itu adalah muntah ikan paus.

“Saya sangat terkejut kerana ayah mendakwa objek yang saya jumpa itu jarang ditemui di negara kita.

“Ayah saya cuba membakar sedikit objek itu dan benda itu meleleh seperti lilin serta menghasilkan bau yang wangi,” katanya.

Tambahnya, dia telah membuat rujukan di internet dan mendapati objek yang ditemui itu mungkin muntah ikan paus dan mempunyai nilai yang tinggi.

Sementara itu, Aida turut berkata, dia bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menjalankan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap objek yang ditemuinya itu.

“Saya tahu kos untuk menjalankan ujian makmal adalah tinggi dan saya sanggup bekerjasama demi mengesahkan ketulenannya,” katanya.

Menurut Aida lagi, dia tidak pernah tahu bahawa muntah paus itu adalah benda yang dicari dalam perusahaan minyak wangi.

Muntah ikan paus atau nama saintifiknya, ambergris pernah ditemukan oleh seorang nelayan di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand pada Februari lalu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button