Hiburan

Nubhan bersandar kepada populariti ibunya untuk buat come back

MUNGKIN satu ‘penyakit’ penyanyi di Malaysia yang sudah lama menyepi tanpa single atau album, tiba-tiba muncul kerana membuat penampilan semula atau come back dalam industri hiburan dan Nubhan sendiri tidak terkecuali daripada tergolong dalam golongan seperti ini.

Sedangkan sudah elok Nubhan tidak aktif sebagai penyanyi kerana dahulupun, kemunculannya sebagai penyanyi syarikat rakaman, ke tepi tidak, ketengah pun tidak.

Satu dekad sebagai penyanyi, Nubhan sebenarnya tercari-cari arah untuk kekal relevan atas platform hiburan.

Mencari formula untuk terus menapak dalam bidang seni suara di tanah air sendiri, Nubhan pernah bertindak menukar pengurus tetapi ketika itu, tukarlah 100 orang pengurus sekalipun, kalau sikap tidak mahu mendengar kata demi kebaikan karier seni, itulah yang menjadi penyebab nama Nubhan tenggelam.

Mendirikan rumah tangga dan beranak pinak, Nubhan mungkin seronok apabila diterima netizen yang gemar melayari YouTube atau TikTok.

Untuk content dalam platform media sosial, Nubhan memaparkan ibunya sendiri yang mana, didakwanya berjaya mencuit hati netizen.

Peminat? Masih adakah lagi peminat kerana penyanyi tumbuh umpama cendawan selepas hujan.

Tapi tidak mengapa, tidak ditolak hasrat Nubhan yang mahu tampil dengan satu single berjudul Kekasih Untukku yang didedikasi buat ibunya, Badariah Omar, 78 atau dikenali dengan panggilan Mak Jenny.

Nubhan dalam kenyataannya berkata, rakaman video yang dimuat naik memaparkan aksi lucu dan spontan ibunya itu mencuit hati peminat.

Malahan Nubhan mendakwa, karakter Mak Jenny yang diciptanya itu berjaya mengumpul peminat tersendiri, sekali gus mempopularkan dirinya.

“Lagu bergenre pop balada hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, lirik oleh Ikhwan Fatanna itu diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music dan telah pun dlancarkan pada 18 Ogos,” kata Nubhan yang sudah pun berusia 37 tahun.

Nubhan berkata, selepas kali terakhir beliau muncul dengan single duet bersama penyanyi Siti Nordiana berjudul Sekali Lagi pada 2021, lagu Kekasihku Untukku secara peribadi, disifatkannya sebagai buah tangan yang cukup istimewa.

“Lagu ini saya rakamkan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu. Diakui memang sudah lama tidak ada single solo dan kali terakhir pun pada dua tahun lepas, duet bersama Nana.

“Apabila ramai yang minta saya muncul dengan lagu baharu, jadi saya mahukan sesuatu yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Katanya lagi, disebabkan itu, beliau berfikir apa salahnya buat lagu untuk Mak Jenny.

“Lagi pun ramai yang dah kenal mak saya. Banyak video dia juga yang mencuit hati penonton. Niat saya menghasilkan lagu ini adalah nak jadikan ia sebagai lagu kasih sayang sejati terhadap ibu,” jelasnya.

Menurut Nubhan lagi, lagu Kekasihku Untukku itu juga sebagai bukti, jika berbakti dan berbuat baik pada orang tua ia satu tauladan yang baik untuk anak-anak.

“Saya mahu lagu ini menjadi bukti dan nak tunjuk kepada anak-anak saya nanti. Ia juga bukti kalau kita buat baik terhadap orang tua, balasan baik pasti dapat,” katanya.

Mengulangi pendiriannya menyampaikan lagu itu khas buat ibunya, Mak Jenny, Nubhan turut mengajak orang ramai agar sama-sama menghayati lagu tersebut yang menceritakan kasih sayang terhadap ibu.

“Memandangkan saya sudah tidak ada ayah lagi, jadi saya curahkan segala-galanya kepada mak. Lagu ini terhasil, juga daripada maklumbalas positif yang saya terima di mana ada antaranya meluahkan rasa rindu terhadap ibu mereka, tidak berkesempatan membahagiakan ibu mereka.

“Paling penting, tujuan lagu ini dizahirkan ialah supaya kita semua jadikan orang tua kita sebagai keutamaan dalam hidup.

“Dalam masa yang sama, lagu ini juga untuk peminat yang sudah lama tidak mendengar nyanyian saya,” katanya dengan harapan, single terbaharunya itu dapat dimanfaatkan oleh khalayak. – SM

BACA Dulu dituduh kikis duit isteri, sekarang dituduh musnahkan masa depan isteri

BACA Nubhan tunjal kepala isteri hanya ‘prank’ untuk hadiahkan Vellfire

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button