Politik

Notis tuntutan daripada PM, halang kebebasan bersuara

KEBEBASAN bersuara ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional terutama ketika penguatkuasaan Perintah Darurat dilihat semakin terbatas.

Hal demikian berikutan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Tuntutan itu dibuat oleh Muhyiddin apabila Mohd. Puad mempersoalkan peraturan kuarantin tiga hari kepada Menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara.

Oleh demikian, isu berkenaan melibatkan kepentingan awam apabila terdapat ‘double standard’ diamalkan kerajaan terhadap anggota kabinet dan orang awam.

Malah, peraturan itu didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dari sudut layanan yang saksama kepada semua rakyat.

“Oleh kerana peraturan kuarantin tiga hari untuk Menteri dibuat tergesa gesa, maka ia isu ‘kepentingan awam’ yang perlu ditanya dan dipersoalkan.

“Ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah ‘kuarantin tiga hari’ tidak bertentangan dengan Artikel 8?

“Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak.”

Demikian kata Mohd. Puad dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bersedia berhadapan dengan Ahli Parlimen Pagoh itu di mahkamah berhubung isu ini.

Dalam kenyataan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) memaklumkan menerima LOD daripada peguam Muhyiddin yang mengambil tindakan saman RM10 juta kepadanya.

Kata Mohd. Puad, beliau bersedia berhadapan dengan Munyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan enggan membenarkan dirinya dibuli dalam isu ini.

“Saya sahkan telah menerima LOD daripada peguam Perdana Menteri. Dia akan ambil tindakan saman RM10 juta terhadap saya.

“Saya akan serahkan kepada peguam saya untuk respond surat LOD tersebut.

“Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh Muhyiddin seperti mana UMNO dibuli.

“Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam Facebook saya.

“Justeru saya memilih ke Mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan ‘antara dua darjat’ dalam isu kuarantin.

“Saya dituduh memfitnah Perdana Menteri. Sedangkan saya hanya bertanya dan meminta penjelasan. Kalau itu pun disaman maka amat wajar saya melawan di mahkamah,” tegasnya.

Sebelum ini dilaporkan Perdana Menteri menghantar notis tuntutan kepada Mohd. Puad kerana membuat kenyataan dalam Facebooknya yang dikatakan sebagai fitnah.

LOD tersebut dihantar oleh firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership dan dialamatkan kepada Mohd. Puad di Putrajaya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button