BeritaNasionalRencah Hidup

RM20 dan mimpi Tun Mahathir

INI merupakan catatan seorang wartawan yang kini pemandu Grab..

JIKA Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah bermimpi untuk melihat Putrajaya berusia 25 tahun, aku pula tidak pernah bermimpi untuk menjadi pemandu Grab.

Not RM20 adalah upah pertama yang aku terima pada pagi tahun 2020. Aku terima daripada tiga pemuda Nepal yang secara tidak langsung ‘merasmikan’ pekerjaan baharuku sebagai pemandu Grab.

Ya, aku kini pemandu Grab. Hakikatnya bukan aku sahaja yang terpaksa menukar rutin hidup daripada menulis kepada seorang pemandu grab, tetapi ramai lagi rakan lain yang senasib dengan aku.

Ada juga yang cuba menjadi penghantar makanan. Mereka terpaksa `merempit’ demi kelangsungan hidup. Umur pula bukan muda lagi. Namun, apa pilihan lebih baik yang ada pada ketika ini?

Rata-rata kami masih menunggu `janji-janji’ dibayar pampasan dan gaji tertunggak. Lima bulan bukan tempoh yang singkat. Hanya yang tidak berhati perut sahaja sanggup melihat kami begini!

Menjadi pemandu Grab mungkin pekerjaan yang agak ‘menakutkan’ bagi sesetengah orang. Aku juga ada perasaan begitu. Bukan takut untuk bawa kereta tetapi bimbang perkara-perkara teknikal.

Pelbagai kesukaran terbayang. Macam mana kalau salah guna applikasi atau tak jumpa tempat?

Sebenarnya arahan-arahan yang perlu diikuti tidak sesukar seperti yang disangka. Percayalah, sebelum membiasakan diri, semua orang akan melakukan kesilapan.

Namun, kesilapan-kesilapan yang tidak disengajakan itu, selalunya tidak sedikit pun akan menganggu sistem tersebut.

Membawa penumpang tidak dikenali pula tidak harus dijadikan masalah besar. Berpeganglah kepada peribahasa, `buat baik dibalas baik’ pasti semua akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Apa yang pasti, tahun 2020 aku sambut dengan persepsi baharu. Akhbar Utusan Malaysia tempat aku cari makan sebelum ini telah aku ‘buang’ jauh-jauh.

Biarlah `mereka’ berebut. Mereka yang aku maksudkan adalah beberapa kelompok yang kerjanya hanya ‘menangguk di air keruh’ untuk mendapatkan keuntungannya.

Kerana kumpulan mereka ini sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi manusia paling kaya di muka bumi ini!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button