Pena Cikgu Kamarul

Nostradamus ramal Israel akan musnah di tangan orang Arab?

Kedamaian menyelubungi kediaman pelajar di Manchester pada petang itu. Rakan-rakan yang berjumlah 13 orang dari negara berlainan semuanya berada di Universiti dalam persediaan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kau pernah dengar tentang Nostradamus?”, tanya Vikas Bortake, seorang pelajar dari India yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik aku. Aku merenung ke arahnya yang sedang bersusah payah memastikan buku-buku dalam pelukannya tidak jatuh bertaburan ke atas lantai. “Pernah. Dikatakan dia seorang ahli nujum. Ramai yang terlalu mempercayai ramalannya. Aku bukanlah salah seorang daripada mereka”, jawab ku kepada soalannya. “Buku-buku ini adalah mengenai ramalan-ramalannya. Mungkin kau mahu meminjam sebuah untuk menghabiskan  masa lapang mu”, dia segera mencadangkan. Aku bangun dari kerusi lalu membelek buku-buku dalam dakapannya lalu memilih dua buah.   “Bukankah aku kata sebuah. Mengapa kau ambil dua?”, katanya yang begitu menghargai buku-buku tersebut. “Aku mahu tengok kalau-kalau Nostradamus ada membuat ramalan tentang kamu yang sehingga kini masih tidak mempunyai teman wanita”, aku mengusiknya. Dia kelihatan marah lalu segera beredar. Mungkin ada sesalan dalam hatinya  kerana menawarkan buku-buku itu kepadaku.

Aku mula membuka helaian salah sebuah buku tersebut. Ternyata bahasa yang digunakan amat sukar dimengerti. Maklumlah Nostradamus hidup pada tahun 1503 hingga 1566 dan tentu sekali bahasa yang digunakannya menjurus ke zamannya . Namun kerana ramalan-ramalannya ditulis dalam bentuk sastera, aku mula teruja kerana aku amat meminati sastera.

Bacaan ku menemukan ramalan tentang Puteri pujaan dari England (Puteri Diana). Nostradamus menceritakan tentang peristiwa perkahwinan seorang Puteri dari England yang amat disayangi di seluruh dunia. Nostradamus meramalkan bahawa perkahwinan itu akan berakhir dengan perceraian dan Puteri itu ‘akan maut dalam kecelakaan kenderaan’. Membacanya aku tersenyum, hampir tidak mempercayainya kerana mana mungkin Charles menceraikan isteri yang cantik lagi baik itu.

Aku semakin  teruja dengan apa yang aku baca. Nostradamus meramalkan tentang lahirnya sebuah negara yang terbina atas tanah yang dirampas di tengah-tengah negara orang-orang berserban. (aku tafsirkan sebagai Israel dan orang orang berserban itu adalah orang-orang Arab). Berpuluh tahun negara ini menjadi angkuh dan berlaku kejam ke atas tuan tanah yang dirampas itu iaitu Palestin. Namun, Nostradamus menyatakan bagaimana “pada tahun 7, negara negara orang berserban ini akan bersatu padu dan menyerang negara ini (Israel) lalu ia akan lenyap sama sekali’.  Aku tak tahu apa yang dimaksudkan oleh Nostradamus akan ‘tahun 7’. Yang pasti ramai yang menanti tahun 7 yang dimaksudkan Nostradamus itu.

Related Articles

Nostradamus juga meramalkan tentang munculnya negara berbentuk epal (Amerika Syarikat) yang akan menguasai dunia. Namun semua itu akan lenyap dalam abad ke 21 apabila ia menghadapi pelbagai bencana seperti bencana alam dan wabak penyakit. Satu demi satu bencana ini akan menjadikan ia sebagai negara yang meminta-minta (miskin).

Ketika aku sedang  membersihkan  halaman rumah ibu ku lebih kurang seminggu kepulangan ku ke Malaysia setelah menamatkan pengajian ku di England tiba-tiba ibu dalam keadaan panik meminta aku mematikan enjin mesin rumput yang sedang aku gunakan. “Kenapa?”, tanya ku melihat ibu dalam keadaan cemas. “Lady Diana… dia kemalangan di Paris. Keadaannya teruk” kata ibu yang amat menyayangi Diana.

Aku terdiam dan teringat akan ramalan Nostradamus yang aku baca.  “Jika benar apa yang saya baca tentang ramalan Nostradamus, Diana tidak akan selamat. Dia akan mati ekoran kemalangan ini.” kata ku kepada ibu.

Bagi ku ramalan Nostradamus itu mungkin satu kebetulan. Apakah nasib Israel dan Amerika Syarikat juga akan menjadi seperti apa yang diramalkan Nostradamus?

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button