
Noraniza Idris Buat Kejutan! Konsert Raya Percuma ‘EH RAYA 2025’ di Summit USJ
AURA Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan kelainan apabila figura tersohor tanah air, Noraniza Idris – sinonim sebagai Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif – tampil menghidupkan semula semangat perayaan menerusi Konsert EH RAYA 2025, sebuah acara penuh warna-warni yang bakal berlangsung secara percuma di Summit USJ, pada 26 April 2025 (Sabtu), dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam.
Dengan matlamat memperkukuh jati diri dan menyemarakkan warisan budaya dalam suasana mesra keluarga, konsert ini mengetengahkan gabungan hiburan, seni persembahan dan nilai tradisional yang disampaikan secara kontemporari. Noraniza Idris sendiri tampil menggalas watak utama sebagai “Che Ani” dalam persembahan istimewa yang memadukan elemen sketsa, nyanyian dan tarian raya – menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah konsert.

Turut menghangatkan pentas ialah rakan artis seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah, yang bersama Noraniza akan memimpin penonton menyelusuri suasana rumah terbuka Aidilfitri dengan persembahan lagu-lagu nostalgia seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal, diiringi lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI).
Menariknya, KONSERT EH RAYA 2025 turut memperkenalkan segmen budaya seperti Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif dan persembahan khas bertemakan Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal serta perarakan warisan makanan tradisi Bugis. Semuanya diadakan secara terbuka dan percuma kepada umum, menjadikan program ini antara acara kebudayaan Aidilfitri paling meriah di Selangor.
Lebih mengujakan, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan pratonton eksklusif tarian warisan Negeri Selangor yang dijadikan modul pembelajaran budaya, dibangunkan sendiri oleh Noraniza menerusi akademi seninya yang berpusat di Shah Alam – selaras dengan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut Noraniza Idris yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia, beliau amat teruja dapat merealisasikan konsert ini bersama rakan-rakan seni yang berkongsi aspirasi untuk memperkasakan muzik tradisional.
“Sebagai anak seni, saya percaya muzik tradisional perlu sentiasa diberi ruang dan digabungkan dengan irama moden supaya dapat terus menarik minat generasi baharu. Konsert ini bukan hanya platform hiburan, malah menjadi jambatan antara masyarakat dan warisan budaya yang kita miliki,” jelasnya.
Sementara itu, wakil penganjur bersama dari NIPV Management, Jeffri Iman Hoodi, menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung, menjadikan konsert ini tumpuan utama sepanjang musim perayaan.
“Kami mahu menghidupkan semula suasana Aidilfitri dalam bentuk hiburan yang inklusif, menggabungkan elemen tradisi dan moden yang sesuai untuk semua peringkat umur. Ia juga bertujuan menyemai minat terhadap seni budaya dalam kalangan generasi pelapis,” katanya.
Dalam usaha menyemarakkan sambutan, penganjur turut menggalakkan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan, di mana acara ini dijadikan hentian kebudayaan dalam pakej lawatan mereka.
Tidak ketinggalan, ruang eksklusif turut dibuka kepada para usahawan yang ingin mempromosikan produk tempatan melalui demonstrasi, jualan dan jamuan gastronomi warisan Bugis – semuanya secara percuma sebagai sebahagian daripada pakej promosi terhad sepanjang konsert berlangsung.
Majlis pelancaran rasmi akan disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman AlHaj, selaku Penaung NIDA.
Konsert ini dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama Summit USJ (penaja lokasi), Tourism Selangor (penyokong promosi negeri), Dewan Bahasa dan Pustaka (penaja hadiah), serta rakan strategik CHE ANI PREMIUM, NAJAH dan NIDA.