Niat sedekah dah elok, tapi lain pula jadi
BULAN RAMADAN, bulan penuh keberkatan dan sudah pasti ramai daripada kita yang ingin mengerjakan amal ibadah termasuklah amalan bersedekah dan memberi makan orang berpuasa.
Tidak dapat dinafikan orang Malaysia terkenal dengan kayanya sifat pemurah namun dalam kita mengejar pahala, jangan lupa dengan perkara-perkara yang Allah SWT tidak suka.
Baru-baru ini terdapat kes lambakan makanan yang didermakan terbiar sehingga makanan tersebut basi dan dibazirkan.
Tindakan orang ramai yang ingin membuat pahala dengan bersedekah mengundang kritikan warga Facebook apabila melihat makanan yang disediakan dengan kadar yang banyak itu dibazirkan begitu sahaja terutama ketika bulan penuh suci ini.
Difahamkan orang ramai ingin bersedekah dan memberi makanan kepada golongan gelandangan berbuka puasa.
Namun niat baik itu bertukar hiba apabila melihat rezeki yang disediakan itu terbiar sedangkan masih ramai golongan di luar sana yang memerlukan bantuan makanan.
Rata-rata komen warga Facebook berpendapat seeloknya bantuan makanan itu diberikan kepada anak-anak yatim, Sekolah Tahfiz, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan saudara yang lebih memerlukan.
“Tidak perlu fokus pada golongan gelandangan sahaja, mereka selalu dapat bantuan makanan walaupun bukan bulan puasa, bagi sahaja makanan itu di tepi jalan kepada orang yang ingin pulang kerja, mereka lagi tidak sempat masak, hendak ke bazar pun ramai orang beratur, bersedekahlah tidak kira siapa” Memetik salah seorang komen warga Facebook.
Ini bukan merupakan isu yang baharu, setiap tahun ada sahaja isu lambakan makanan yang dibazirkan untuk agihan berbuka puasa kepada golongan gelandangan.
Justeru orang ramai yang ingin bersedekah sepatutnya menggunakan pendekatan yang betul dan mengagihkan bantuan kepada mereka yang betul-betul memerlukan seperti meletakkan di masjid-masjid, pusat pengajian dan sebagainya. – SM