Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Ng Tze Yong gagal melayakan diri ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun selepas tumpas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 19-21, 21-10, 19-21.
Pemain perseorangan muda negara itu sukar untuk menjinakkan Thammasin pemain ranking ke-33 dunia walaupun terpaksa bertarung selama 70 minit.
Mengikat kedudukan 19-19 di set ketiga namun dua kesilapannya memberi kemenangan kepada pemain dari Thailand itu.
Tze Yong mengakui Thammasin adalah pemain yang jauh lebih berpengalaman kerana dia dapat mengawal gelanggang dengan baik.
“Selepas ini saya perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan stamina dan corak permainan. Saya tidak kecewa walaupun gagal di Tokyo sebab saya sudah berikan yang terbaik. Selepas ini saya akan beri fokus kepada beberapa kejohanan lain,” ujarnya.
Pada pusingan pertama, anak kelahiran Johor itu menewaskan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10.
Turut gagal ke pusingan berikutnya ialah perseorangan wanita kebangsaan, S. Kisona apabila tunduk mudah kepada pemain kurang ternama dari Vietnam, Thi Trang Vu 10-21, 17-21 dalam tempoh 37 minit.
Bagaimanapun, rakannya Soniia Cheah yang setahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa berjaya menyingkirkan wakil Indonesia Puteri Kusuma Wardani dengan keputusan 21-19, 21-18.
Dalam acara beregu wanita pula, gandingan Anna Cheong-Teoh Mei Xing menggembirakan kem Malaysia apabila tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Stine Kuespert -Emma Moszczynski dari Jerman 21-13, 21-15.
Bagaimanapun, gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow yang membuat penampilan pertama gagal mengikut jejak langkah rakan sepasukannya selepas tewas kepada pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 11-21, 13-21. – SM