New Zealand belasah Harimau Malaya 4-0
PRESTASI Harimau Malaya tidak ada peningkatan apabila sekali lagi menjadi mangsa belasahan pasukan yang lebih kuat.
Hari ini pasukan bola sepak kebangsaan itu kena belasah dengan pasukan di ranking 95 dunia iaitu New Zealand pada perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland.
Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente memohon maaf kerana gagal memberikan keputusan positif berdepan pasukan New Zealand yang jauh lebih berkualiti.
“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana mereka mahu melihat kami meraih kemenangan.
“Kami gagal memberikan keputusan yang baik kepada mereka dan dalam masa sama berdepan pasukan yang cukup kuat.
“Sejak saya berada di sini (bersama Harimau Malaya), ini adalah antara pasukan terkuat pernah skuad negara hadapi. Ia menjadi pengalaman berguna kepada pemain,” katanya selepas perlawanan.
New Zealand sememagnya bukan tandingan skuad negara selepas dibelasah menerusi gol Elijah Just pada minit ke-53, Matthew Garbett (m-61), Chris Wood (m-72) dan Logan Rogerson (m-90).
Pau Marti juga tidak mahu menyalahkan para pemainnya selepas kekalahan tersebut selain percaya ada elemen positif yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Pada separuh masa pertama kami berdepan tekanan yang tinggi, tetapi kami bertahan dan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
“Separuh masa kedua kami bolos gol ketika fasa transisi dan bertahan. Saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka telah cuba melakukan yang terbaik,” katanya.