Netizen persoalkan sekolah jemput Haqiem Stopa beri motivasi kepada pelajar!
APABILA menyebut tentang motorsikal dan dunia TikTok, pastinya nama Haqiem Stopa akan terlintas di fikiran apabila dia menerima jolokan ikon permotoran oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Biar pun jolokan itu diberikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, netizen menganggap Haqiem Stopa tidak lebih daripada seorang ‘mat rempit’.
Pada pandangan netizen, Haqiem Stopa tidak mempunyai sumbangan kepada negara selain memiliki 870,070 pengikut di TikTok bukanlah satu alasan yang kuat untuk diangkat sebagai ikon permotoran.
Baru-baru ini, kisah Haqiem Stopa tular sekali lagi apabila dia dijemput untuk beramah mesra dan memberikan ucapan kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Berdasarkan video yang dikongsikan, rata-rata netizen secara sinis mempersoalkan kelayakan Haqiem Stopa untuk dijemput ke sekolah bagi tujuan berkenaan.
Segelintir netizen yang dipercayai mengenali Haqiem Stopa menulis dia hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga dan jemputan pihak sekolah adalah sesuatu yang kurang bernas.