Nasional

Nenek Hafizh Syahrin meninggal dunia

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kehilangan insan tersayang apabila neneknya Arbaieah Mohammed meninggal dunia pagi, semalam, selepas menderita menghidap penyakit barah paru-paru.

Jenazah Allahyarhamah yang berusia 67 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Cheras selepas solat Zohor.

Hafizh yang meluahkan kesedihannya menerusi media sosial Instagram berkata, hanya kenangan yang neneknya tinggalkan untuk pelumba itu.

“Terima kasih nenek membesarkan apis (Hafizh) dan menjaga 15 cucu dalam masa yang sama, nenek memang sangat kuat.

“Terima kasih nenek tunggu apis balik, sangat berat nak terima benda ni tapi apis redha dengan ketentuan-Nya, Allah lebih sayangkan nenek.

“Kehilangan orang yang paling aku sayang, nenek rehatlah cukup-cukup di alam sana ya nenek, semoga di tempatkan (dalam kalangan) orang yang beriman, amin,” kata Hafizh.

Hafizh yang bernaung di bawah pasukan berpangkalan di Sepanyol, Inde Aspar Team itu kini berehat di tanah air selepas terbabit dalam kemalangan ngeri pada Grand Prix Motosikal Austria di Red Bull Ring, 16 Ogos lalu.

Dalam perlumbaan tersebut, Hafizh, 26, gagal mengelak motosikal pendahulu kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2, Enea Bastianini yang melintang di tengah trek sehingga menyebabkan dia terpelanting.

Bagaimanapun, Hafizh ternyata bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali luka dan lebam pada anggota badannya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button