Politik

NCER antara legasi besar Tun Abdullah – Mohd Shukri

PENUBUHAN  Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) adalah sebagai antara legasi besar ditinggalkan Perdana Menteri Ke-5,  Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli  berkata, inisiatif yang diperkenalkan semasa era kepimpinan allahyarham telah memberi impak besar kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di wilayah utara termasuk Perlis.

“Antara sumbangan besar yang telah ditinggalkan Allahyarham adalah penubuhan Pembangunan Lima Koridor Ekonomi, terutamanya NCER yang memberi peluang kepada negeri-negeri di utara untuk berkembang secara lebih strategik dan inklusif.

“Sehingga kini, koridor tersebut terus memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat, menyediakan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan ke negeri-negeri yang terlibat,” tulisnya dalam hantaran di media sosial semalam.

Allahyarham Abdullah, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, mengetuai pentadbiran negara dari tahun 2003 hingga 2009 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau dikenali dengan pendekatan sederhana dan kepimpinan berteraskan nilai murni serta integriti.

Allahyarham turut memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan komited dalam pembangunan modal insan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan.

Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur jam 7:10 malam tadi, akibat komplikasi jantung dan bagi menghormati jasa besar beliau, kerajaan mengisytiharkan pengebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” kata Mohd Shukri. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button