Sukan

Nama Almarhum Sultan Ahmad Shah dicadang diabadikan pada ‘Soccer City’ Putrajaya

KERAJAAN berhasrat mengabadikan pembangunan fasiliti sukan dengan anggaran kos lebih RM500 juta di Putrajaya, kepada ikon kepimpinan sukan negara, Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, projek ‘Soccer City’ itu adalah inisiatif Almarhum Sultan Ahmad Shah, ketika memimpin Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

“Waktu itu saya Timbalan Presiden FAM, ini idea daripada Almarhum Sultan Ahmad Shah supaya pejabat AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN), AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FAM berpindah ke Putrajaya. Ia telah dipermudahkan kerana Tuanku mengambil berat, memberikan tanah dan sebagainya.

“Jadi saya fikir wajar untuk menamakannya sebagai ‘Sultan Ahmad Shah Soccer City’ atau ‘Sultan Ahmad Shah Soccer and Sports City’ kerana Baginda merupakan aktivitis sukan negara yang unggul,” katanya pada sidang media majlis pertukaran dokumen dan penyampaian insentif sukan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Annuar berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini, untuk merafak sembah pohon perkenan menggunakan nama Almarhum Paduka Ayahandanya secara rasmi.

Related Articles

Terdahulu, Annuar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyaksikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim, bertukar dokumen dengan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, dan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John.

Pembangunan ‘Soccer City’ Putrajaya dengan keluasan 42.43 ekar (lebih 17 hektar) di Presint 5 melibatkan pembangunan sebuah stadium bola sepak berkapasiti 10,000 penonton milik AFC, ibu pejabat FAM serta pusat latihan bola sepak kebangsaan dan ibu pejabat AFF.

Annuar berkata, AFC sedia membelanjakan sekitar USD100 juta (kira-kira RM426 juta) untuk pembinaan stadium itu, manakala Pusat Latihan Harimau Malaya yang menelan kos RM45 juta, memerlukan peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai ‘Bandar Mesra Sukan’, Annuar berkata, empat padang bola sepak komuniti dan kemudahan-kemudahan lain akan turut dibina di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Stadium Ragbi Kebangsaan berkapasiti 5,000 orang dengan kos lebih kurang RM70 juta telah mula dibina di Presint 13, manakala pembangunan Kompleks Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), yang dilengkapi dengan kemudahan olahraga dan trek balapan menelan kos RM40 juta akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Kesemua kemudahan ini dijangka siap secara berperingkat dalam masa tiga tahun lagi, iaitu pada 2023. Bangunan pejabat AFF telah siap, tinggal fasa kedua melibatkan bangunan kondominium.

“Stadium Ragbi dijangka siap dalam 18 bulan, iaitu pada suku ketiga 2022, manakala Kompleks Sukan MSWP baru hendak dimulakan dan dijangka siap awal 2023. Saya sangat gembira menggerakkan semula pembagunan ini, selepas terhenti seketika kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Saya mahu tambah padang awam kerana tidak mahu tempat itu menjadi eksklusif dengan premis pentadbiran, pusat latihan pasukan kebangsaan dan pusat AFC. Ia akan jadi terasing dari komuniti, jadi kita akan bangunkan padang bola dan kemudahan awam yang lain, supaya kawasan ini sentiasa hidup dengan masyarakat tempatan,” jelasnya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button