Nak cabar polis konon, akhirnya semua kena tahan
SUDAHLAH membuat bising dengan menggunakan eksoz motosikal pada waktu malam, lepas itu berani pula mempersoal dan menengking polis yang datang untuk membuat pemeriksaan.
Difahamkan, empat daripada suspek yang terlibat telah ditahan manakala seorang lagi melarikan diri dalam kejadian di Jalan Harapan Sea Park, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, ketika kejadian, pihaknya sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan empat lelaki berusia lingkungan 29 hingga 46 tahun yang membuat bunyi bising dengan menggunakan ekzos motosikal.
“Ketika pemeriksaan dijalankan terhadap kesemua lelaki tersebut, datang seorang lagi lelaki yang dipercayai kawan mereka dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
“Lelaki itu turut membuat bunyi bising dengan menggunakan ekzos motosikalnya di hadapan kita sebelum diarahkan berhenti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ezanee, seorang daripada suspek kemudian tidak berpuas hati dan mempersoalkan serta menengking seorang daripada anggotanya yang bertugas.
Jelasnya, kesemua suspek akhirnya ditahan polis manakala seorang daripada mereka sempat melarikan diri.
“Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai empat kes berkaitan dadah dan satu melibatkan kes jenayah.
“Kita juga sedang giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang telah melarikan diri itu,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. -SM