Nasional

Najib sumpah laknat Jumaat ini, Anwar dan Azmin turut serta?

TIGA akuan bersumpah melibatkan tiga pemimpin utama negara iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak,  sepanjang tahun ini.

Akuan bersumpah pertama melibatkan lelaki bernama Haqiz Aziz pada 12 Jun 2019. Melalui Facbooknya, lelaki tersebut telah menaikkan satu satu video berdurasi 35 saat bersumpah mendakwa bahawa dia adalah individu dalam video semburit bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin.

Lelaki itu mendakwa video semburit terbabit telah dirakam tanpa kebenaran beliau pada 11 Mei bersamaan 6 Ramadhan semasa pilihan raya kecil Sandakan di dalam bilik menteri terbabit di hotel Fourpoint.

“Saya Haziq Aziz, dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama Azmin Ali  dalam video yang telah viral semalam.

“Video tersebut telah diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa pilihanraya kecil Sandakan di bilik Azmin di Hotel Fourpoint. Saya menggesa SPRM untuk menyiasat Azmin atas tuduhan korupsi. Dia bukanlah individu yang layak untuk menjadi seorang pemimpin” – Haziq Aziz

Azmin telahpun menafikan tuduhan Haziq. Beliau juga menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas,” katanya.

Sudah hampir setengah tahun Haziq melakukan sumpah. Namun sama ada ia satu fitnah atau satu kebenaran masih belum terjawab.

Akuan bersumpah kedua melibatkan lelaki bernama Muhammad Yusoff Rawther.  Dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November 2019  lelaki muda itu mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh suami Timbalan Perdana Menteri, Anwar.

Menurut akaun bersumpah Muhammad Yusuff, dia mendakwa perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian didakwa dilakukan oleh Presiden PKR itu pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

“Kononnya beliau kawan rapat keluarga, dihormati oleh datuk (saya, bagaimanapun) kejadian yang berlaku antara saya dan beliau bertentangan dengan apa pun yang diperjuangkannya. Ia sesuatu yang memalukan. Untuk seorang yang mengetahui kebenaran, ia tidak mudah,” kata Yusoff.

Muhammad Yusoff turut menjalani ujian poligraf untuk mengetahui sama ada dia bercakap benar atau menipu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

Anwar telahpun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Yusoff.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.

“Setiausaha Sulit saya, Shukri Saad, akan membuat laporan polis berhubung isu yang dibangkitkan dan peguam saya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff Rawther,” kata Anwar. Kes masih dalam siasatan polis.

Akuan bersumpah ketiga melibatkan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Cif Inspektor Azilah Hadri  yang telah disabitkan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu  dan hanya menunggu masa untuk ke tali gantung.

Lelaki itu dalam akaun bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019  mendakwa bekas Perdana Menteri, Najib pada tahun 2006 ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri telah mengarahnya untuk membunuh Altantuya.

“Saya bersumpah dengan Nama Allah SWT, Yang Maha Pemurah Iagi Maha Penyayang; bahawa saya, kini melalui hari-hari terakhir saya sebelum dihukum ke tali gantung, dan tanpa niat untuk menganiaya atau menyinggung mana-mana pihak, akan menyatakan perkara sebenar, sebenar-benar perkara, sepanjang pengetahuan saya, berkenaan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, agar kebenaran dapat dizahirkan, semoga saya dapat menghadapi hukuman ini dengan hati nurani yang tenang dan dengan keredaan llahi.” Itu kata Azilah.

Permohonan Azilah untuk menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas pembunuhan Altantuya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada April tahun depan.

Najib hari ini telah menyatakan hasratnya untuk melakukan sumpah laknat untuk menafikan dakwaan Azilah.

“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini,” kata Najib.

Bagus juga jika Azmin dan Anwar dapat hadir bersama-sama dan bergilir-gilir melakukan sumpah laknat dengan nama Allah selepas Najib pada Jumaat ini.

Kalau boleh biarlah ada siaran langsung di RTM, TV3 dan Astro Awani.  Biar satu negara dapat melihat ketiga-tiga pemimpin besar negara itu bersumpah laknat. Sekurang-kurangnya rakyat dapatlah  melihat keberanian mereka untuk bersumpah laknat atas nama Allah.

Benar atau tidak, Allah jugalah Yang Maha Mengetahui. Dia jugalah yang akan menghukum si pendosa yang tidak mahu bertaubat dan tidak mahu mengakui kesilapan sendiri.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button