Nasional

Najib hadir beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Najib dilihat memasuki Bukit Aman pada kira-kira 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan yang Najib akan hadir hari ini bagi memberi keterangan.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 Sept lepas.

Najib menerusi perkongsian di Facebook dikatakan menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Nga berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 Sept lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Nga bagaimanapun menafikan beliau serta DAP terlibat membuat hantaran itu dan menegaskan akaun tersebut sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

– BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button