Najib bawa kes ke Mahkamah Persekutuan, tangguh hukuman penjara
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya hari ini.
Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan denda berkenaan dengan syarat penangguhan adalah sama seperti yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin dan juga perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Sebelum itu, peguam bela Najib, Farhan Read mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
Farhan berkata, rayuan ke Mahkamah Persekutuan akan menjadi sia-sia jika Mahkamah Rayuan tidak membenarkan penangguhan hukuman. -SM