Nabila Razali luah kecewa, terasa apabila disindir Atu Zero
“Mungkin ‘punchline’ sebegitu kelakar bagi sesetengah pihak tetapi tidak untuk saya.”
Demikian kata penyanyi Nabila Razali yang meluahkan rasa kecewa terhadap juri program The Masked Singer Malaysia yang juga pelawak, Atu Zero apabila menyindir dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung.
Nabila berkata, dia tidak menyangka apabila pelawak itu tergamak untuk melakukan sesuatu yang boleh mengguris hati demi mencari perhatian.
“Saya rasa perkara ini sama sahaja seperti ‘body shaming’.
“Mungkin dengan cara menjatuhkan orang lain anda dapat meraih perhatian. Saya tidak marah kepada dia, tetapi sedikit kecewa,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story miliknya.
Menurut Nabila, dia juga ingin mengingatkan kepada pelawak tempatan supaya lebih berhati-hati dalam mencipta kandungan untuk membuat bahan jenaka.
“Saya cuba sehabis baik untuk memperbaiki diri saya setiap tahun. Hanya peminat setia sahaja yang tahu progres yang saya lalui.
“Kepada pelawak di luar sana, tolong cari kandungan yang lebih baik untuk membuat orang ketawa,” katanya.
Terdahulu Atu memberi komen kepada salah seorang peserta The Masked Singer Malaysia iaitu Si Tangkis yang menyanyikan lagu Pematah Hati.
Bagaimanapun, komen spontan Atu yang disiarkan dalam episod itu mengundang rasa kurang senang kepada Nabila apabila Atu memberitahu individu di sebalik kostum itu bukan pemilik asal lagu terbabit kerana Nabila tidak boleh membuat persembahan secara langsung.
Sementara itu, Atu ketika dihubungi berkata, dia sudah memohon maaf kepada penyanyi itu namun belum menerima maklum balas.
“Semalam ada seorang pengikut menghantar kenyataan yang dimuat naik Nabila di Instagram Story miliknya.
“Tanpa berfikir panjang saya terus menghantar mesej peribadi kepada Nabila dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan. Namun sehingga kini mesej yang dihantar tiada sebarang respons walaupun dia sudah membaca mesej itu,” katanya.