Nasional

Dibuang keluarga setelah kematian datuk, remaja perempuan 13 tahun merana!

Seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu membuat satu pendedahan menerusi media sosialnya tentang kisah seorang remaja perempuan 13 tahun hidup merempat dibuang keluarga.

Menurut Natipah yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, nasib malang menimpa remaja perempuan itu setelah kematian datuknya.

Lebih memilukan, remaja perempuan itu bukan hanya merempat sejak usia 12 tahun seorang diri malah hak ke atas rumah pusaka datuknya itu turut dinafikan pak cik dan mak ciknya.

Kisah bermula bermula apabila Natipah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah dihubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bagi menyelesaikan masalah seorang remaja yatim piatu.

“Sejak kecil dia dijaga oleh datuk dan nenek. Nenek pergi terlebih dahulu dan sejak itu, dia dijaga datuk. Setelah kematian datuk, dia tinggal sendirian di rumah pusaka itu.

“Selain arwah bapanya, datuk dan nenek mempunyai seorang lagi anak kandung lelaki dan seorang lagi anak angkat perempuan,” katanya.

Tetapi bapa saudara kandung tidak dapat menjaganya. Jadi setelah datuk pergi, dia tinggal sendirian. Setahun lamanya dia hidup sendiri. Bayangkan dalam usia 12 tahun, dia hidup sendiri sehinggalah ke usia 13 tahun.

Sebulan yang lalu, dia dibawa keluar oleh ibu saudara angkatnya dari Melaka dan dibawa ke sana.

Pada awalnya, dia sangka ibu saudara angkat hendak menjaganya tetapi rupa-rupanya dihantar ke satu tempat dan dia tidak disekolahkan seperti yang dijanjikan.

Sebulan di tempat tersebut, dia keluar dan pergi ke balai polis. Polislah yang membeli tiket bas yg membawa dia pulang ke Sg Petani.

Sebaik sampai di Sg Petani, tentulah dia menuju ke rumah pusaka tinggalan datuknya. Malangnya rumah tersebut telah disewakan kepada warga Indonesia.

“Dia memaklumkan tentang keadaan dia kepada bapa saudara kandungnya. Bapa saudara kandungnya mengurus dan menyewa sebuah homestay untuk dia tinggal selama seminggu.

“Bapa saudaranya tidak dapat datang bertemu dia kerana berada di Brunei. Seminggu di homestay, dia dihalau keluar kerana tempoh sewaan telah berakhir,” ceritanya.

Sekali lagi dia datang ke balai polis kerana tiada hala tuju dan tempat tinggal.

“Hairan.. macam mana budak semuda dia boleh survive sendiri selama setahun. Boleh terfikir hendak ke balai untuk meminta bantuan?”

Itu menjadi tanda tanya Kak Pah dan PDRM sendiri.

“Tok wan saya dulu pencen polis.”

Tercengang kami semua …

“Ooo patutlah..”

Setelah berakhir sesi soal jawab, dia membawa PDRM dan Kak Pah ke rumah pusakanya. Sangka kami, rumah kos rendah atau rumah kampung saja.

Namun demi sampai saja ke rumah itu, kami terkejut melihat rumah yang cantik itu dibiarkan terbuka pintunya manakala pagar pula berkunci.

Barangkali.. penyewa telah berpindah sebaik dia menghubungi bapa saudaranya seminggu yang lalu.

Melihat ada polis di depan rumah, jiran sebelah, seorang lelaki Cina lanjut usia keluar dan mendatangi kami.

“Uncle .. kenal dak dia?”

“Kenal laaa .. Dia duduk sini dulu sama dia punya datuk!”

Setelah identiti pertamanya disahkan, seorang anggota PDRM memanjat pagar dan mengumpil mangga.

Kami pun masuk ke dalam rumah yang dulunya cantik tapi kini terbiar usang. Rumah itu kosong tanpa sebarang perabot lagi.

Hanya sampah-sampah tinggalan penyewa Indonesia. Kami menemui beberapa maklumat penting di sana.

“Ni gambar arwah tok wan saya!”

Dia menghulurkan sebuah bingkai gambar. Dan saja menatap gambar tersebut. Maka terbongkarlah satu lagi pengesahan identitinya.

“Datuk dia bukan polis biasa ni.”

Yaa.. menatap gambar itu, datuknya mmg bukan polis biasa. Lalu kami menemui satu lagi kunci tentang tentang identitinya.

Dia juga menguasai lima bahasa iaitu Cina, Pakistan, India, Melayu dan Inggeris. Sayangnya, hidupnya berubah setelah kematian datuk dan neneknya.

Berdarah kacukan .. mungkin itu salah satu punca mengapa tiada yang menjaga dia. Kami temui juga pasport antarabangsanya yang mana dia pernah terbang ke India.

Kesimpulannya, anak ini asalnya dahulunya hidup senang. Datang dari keluarga yang berada. Tetapi kematian datuk dan nenek menyebabkan dia sebatang kara.

Buat sementara, dia ditempatkan di bawah jagaan Kak Pah sementara menunggu kedatangan bapa saudaranya untuk menjawab segala persoalan yang timbul tentang dia.

Sumber: FB Natipah Abu

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button