Ekonomi

MyAngkasa Amanah Berhad jalin kerjasama strategik dengan Bank Islam

MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) anak Syarikat milik penuh ANGKASA mengorak langkah meluaskan lagi pemasaran perkhidmatan penulisan wasiat dan rujukan kes pentadbiran harta pusaka dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dalam satu majlis yang telah diadakan di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya hari ini.

Melalui kerjasama strategik ini, MAAB bertindak sebagai penyedia perkhidmatan perwarisan harta terutama dalam penulisan wasiat dan pentadbiran harta pusaka.

Manakala BIMB sebagai Rakan Kerjasama Strategik akan menjadi perantara untuk menjual produk-produk MAAB khususnya Wasiat Asas dan Rujukan Pusaka kepada pelanggan-pelanggan BIMB yang sedia ada dan baru.

Majlis ini turut dihadiri Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan BIMB, Mizan Masram.

Menurut Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, sehingga tahun 2022, MAAB telah meraih pendapatan kasar sehingga RM13 juta di mana MAAB telah mendaftar hampir 250,000 kes wasiat dengan nilaian anggaran aset sebanyak 125 billion, jumlah pusaka telah diurus pula adalah sebanyak 728 fail, manakala bagi akaun amanah yang mana MAAB bertindak sebagai pemegang amanah adalah bernilai sebanyak 250 juta.

Ini termasuk akaun amanah Individu, korporat dan pusaka anak-anak di bawah umur.

Beliau juga menyatakan harapan supaya kerjasama ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam urusan perancangan harta sekaligus mengurangkan masalah harta terbeku khususnya melibatkan penduduk muslim di negara ini.

Usaha ini juga adalah sejajar dengan visi BIMB dalam bersaing menggunakan kerangka perkhidmatan yang terbuka dan kaedah digitalisasi dalam perkhidmatan serta memastikan kakitangan jualan BIMB dapat memasarkan pelbagai produk yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan.

BIMB juga yakin dapat meningkatkan daya saing dalam industri perbankan negara serta menempatkan BIMB sebagai pemain utama perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia dengan mempelbagaikan pilihan produk serta pelaburan untuk pelanggan.

Pengerusi MyAngkasa Amanah Berhad, Datuk Mohamad Ali Hasan yang juga Tokoh Koperasi Negara 2022 yakin MAAB akan dapat mengorak langkah lebih jauh bagi memastikan sasaran perolehan pada tahun 2023 sebanyak RM13.3 juta akan tercapai dengan terjalinnya kerjasama strategik bersama BIMB pada hari ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button