Politik

Musuh guna broker ‘claim’ penyatu ummah untuk hancurkan UMNO

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi mendedahkan strategi terbaharu pihak musuh politik untuk memusnahkan UMNO.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pelbagai cara digunakan oleh musuh politik parti itu untuk meruntuhkan UMNO selama-lamanya.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahli UMNO.

Justeru, musuh politik parti itu kini menggunakan broker bertaraf jurucakap sebagai helah untuk mengawal UMNO selepas tidak mampu menamatkan riwayat UMNO.

Broker tersebut menurut Ahmad Zahid, menampilkan diri sebagai penyatu ummah dan boleh menyebabkan UMNO dan ahlinya diperkudakan.

“Untuk itu UMNO mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan. Menggunakan broker bertaraf jurucakap dan ‘claim’ merekalah penyatuan ummah.

“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan. Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan.

“Andai berjaya, jenama UMNO boleh dipergunakan. Jutaan ahli UMNO boleh ‘diremote’ dan dikudakan. Tanpa cabaran pemimpin dan ahli UMNO, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin.

“Walaupun itu bermaksud kebajikan rakyat terabai, ekonomi merudum manakala demokrasi tercalar. Adakah harus kita menyerah? Adakah perlu pasrah dan relakan sahaja cubaan ‘acquisition’ ini?” tanya Ahmad Zahid.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pemimpin UMNO yang dilabelkan sebagai kluster mahkamah merupakan kelompok yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walauapapun yang menimpa mereka.

Kluster mahkamah merupakan gelaran yang diberikan kepada kelompok pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertududuhan.

“Sedangkan pemimpin UMNO ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka.

“Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’.

“Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’,” kata Ahmad Zahid seperti menyindir bekas pemimpin UMNO yang keluar parti sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button