Musim wanita Perlis buat asam jawa sudah tiba
MUSIM membuat asam jawa di Perlis sudah tiba. Rata-rata kaum wanita di negeri ini sedang sibuk mengutip buah asam jawa untuk dijadikan asam jawa.
Asam jawa yang dikenali sebagai bahan mentah yang penting dalam masakan dan juga perubatan tradisional ini memang wajib ada di setiap rumah.
Sebenarnya membuat asam jawa ini sudah lama menjadi amalan dalam kalangan warga emas yang tinggal di kampung-kampung di negeri Perlis.
Tambahan pula bulan Januari hingga Februari adalah musim pokok-pokok buah asam jawa masak dan sudah boleh dipetik.
Bagi mendapatkan bekalan asam jawa tidak sukar kerana kebanyakan penduduk menanam sendiri pokok asam jawa di halaman rumah masing-masing.
Pokok asam jawa bukannya rending tetapi tinggi dan buah-buah merimbun dan boleh gugur jika sudah terlalu masak.
Bagi yang tidak mempunyai pokok asam jawa pula mereka akan membeli buah-buah asam jawa ini yang biasanya dijual pada harga RM13 untuk setiap tin minyak masak.
Rosni Salim atau lebih dikenal sebagai Kak Ah, 68, yang tinggal di Kampung Tebing Tinggi, Bintong, ketika ditemui berkata, setiap tahun dia akan membuat asam jawa sendiri.
“Saya tanam pokok asam di hadapan rumah sejak lebih 20 tahun lalu dan nampaknya sudah banyak jasa apabila berbuah setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini asam jawa yang dihasilkannya itu cukup untuk kegunaan sendiri dan keluarga.
Kak Ah berkata, biasanya dia akan mengait buah-buah asam jawa ini dengan menggunakan galah buluh yang panjang.
Bagaimanapun katanya, tidak semua buah asam jawa yang dikait itu elok kerana ada juga yang rosak.
Kak Ah turut dibantu jirannya, Habshah Hanapiah, 63, mengopek buah asam jawa kerana prosesnya memakan masa.
“Proses mengopek asam juga memakan masa, ia akan dijemur selepas dikopek,” kata Kak Ah sambil menambah, selepas buah-buah asam yang dikopek itu kering baharulah mudah melakukan proses membuang biji.
“Untuk mengelak rasa bosan, kadang-kadang itu saya ajak jiran supaya dapat melakukan kerja mengopek asam bersama-sama,” ujar Kak Ah.
Asam jawa tanpa biji ini kemudiannya digaul dengan garam supaya lebih tahan lama apabila disimpan, katanya.
“Biasanya asam jawa siap dikopek dijual di pasaran pada harga RM18 hingga RM20 sekilogram” katanya. – SM