HaiwanNegeriRencah Hidup

Musim tengkujuh buaya keluar dari habitat, hati-hati

PENGARAH Perhilitan Negeri Pahang, Rozaidan Md Yasin menasihati penduduk sekitar Sungai Belat dan Sungai Kuantan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri jika ternampak buaya pada musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, ekoran kejadian air pasang dan banjir yang menyebabkan air sungai melimpah membolehkan reptilia itu keluar dari habitat asalnya.

Menurut beliau, kejadian limpahan Sungai Air Hitam iaitu anak Sungai Belat dipercayai punca seekor buaya dikesan berada atas jalan di Kampung Air Hitam berhampiran Sri Damai, Isnin lalu dan gambar reptilia itu ditularkan di media sosial, semalam.

“Pemantauan pihak kami pada 13 Disember baru-baru ini mendapati buaya itu tiada di lokasi terlibat.

“Bagaimana pun, penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan berwaspada kerana anak sungai itu adalah habitat kepada buaya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rozaidan berkata, selain Sri Damai dan Air Hitam, penduduk kawasan Inderapura, Sungai Isap, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan kawasan berhampiran tali air Kampung Razali serta Kampung Jawa juga perlu berwaspada.

Penduduk dinasihatkan mengelak daripada melakukan aktiviti berhampiran sungai dan memastikan terdapat jarak yang sesuai untuk memberikan masa dan peluang menyelamatkan diri sekiranya terserempak dengan buaya.

“Berhati-hati jika menaiki bot dan seboleh-bolehnya posisikan diri di tengah-tengah bot serta buatkan bunyi bising kerana reptilia berkenaan menjadi kurang selesa dengan bunyi yang kuat atau bising dan sekali gus akan menjauhi bot.

“Jangan menghampiri sarang atau cuba menangkap anak buaya. Naluri keibuan buaya sangat kuat dan akan bertindak ganas jika diganggu,” katanya.

Rozaidan juga menasihatkan penduduk untuk menggunakan lampu suluh semasa berada berhampiran air di waktu malam bagi memudahkan mereka mengesan kehadiran reptilia itu yang matanya akan berkilau apabila disuluh.

Penduduk yang mengesan haiwan itu juga dinasihatkan agar tidak menghampirinya dan menghubungi segera Perhilitan di 09-5733811 atau hotline di 1-800-88-5151. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button