Bola SepakSukan

MUSA kembali terajui Melaka United FC musim depan

Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) akan mengambil alih sepenuhnya pengurusan skuad bola sepak Melaka United FC (MUFC) daripada KenTeam Sdn. Bhd. menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sebuah syarikat baharu akan dipilih untuk menguruskan skuad Sang Kancil dengan MUSA akan memegang saham sebanyak 40 peratus manakala 60 peratus pula akan dikongsi oleh empat syarikat swasta akan diputuskan nanti.

Menurutnya, butiran perjanjian yang akan dimeterai memberi kuasa kepada MUSA untuk campurtangan dalam pengurusan pasukan Melaka United tidak seperti apa yang terjadi sewaktu KenTeam mengambil
alih MUFC.

“Dalam perjanjian oleh KenTeam Sdn. Bhd. sewaktu mengambil alih MUFC, nama MUSA tidak tertera sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus manakala 70 peratus milik syarikat terbabit.

“Bila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani pada 14 Ogos 2020 itu banyak perkara-perkara berkaitan pasukan tidak melibatkan MUSA. Ini yang menjadi pelik kerana perjanjian itu sangat longgar.

“Sebagai Presiden MUSA yang baharu dilantik saya berjanji akan menyelesaikan segala masalah yang timbul berkaitan tunggakan tiga bulan gaji pemain seperti yang dibangkitkan oleh Liga Bola Sepak
Malaysia (MFL).

“KenTeam hanya membayar sebulan dan bukan tiga bulan yang sepatutnya dibayar dan keadaan itu menyebabkan kita dilarang oleh MFL daripada beraksi dalam Piala Malaysia musim ini. Keputusan MFL
itu adalah muktamad,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Kongres Luar Biasa MUSA bagi mengesahkan pelantikannya sebagai Presiden MUSA yang baharu menggantikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman
Md. Ali di sini hari ini.

Nur Azmi berkata, MUSA akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim yang juga pemilik KenTeam Sdn. Bhd. bagi menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain selain melunaskan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan kos lebih daripada RM600,000.

Beliau menegaskan MUSA akan memastikan syarikat tersebut melunaskan segala tunggakan tersebut sehingga hujung tahun ini bagi memastikan skuad Sang Kancil terus dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

“Kepada peminat bola sepak Melaka saya minta mereka bersabar dan beri ruang kepada saya serta ahli jawatankuasa MUSA yang lain untuk menyelesaikan segala masalah ini dan membolehkan MUSA mengambil alih skuad Melaka musim depan,” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button