Murray dedah diejek gara-gara lantik jurulatih wanita
Antara ejekan diterima Murray menyamakan jurulatih wanita seperti anjing
ANDY Murray mendedahkan dia pernah diejek oleh rakan-rakan dalam kalangan pemain tenis dan jurulatih mereka kerana melantik Amelie Mauresmo sebagai jurulatihnya.
Bekas pemain No. 1 dunia itu mengejutkan jelajah tenis lelaki pada Jun 2014, apabila dia melakukan sesuatu yang jarang sekali terjadi dengan melantik seorang jurulatih wanita di peringkat elit dalam saingan lelaki.
Murray melantik pemenang dua kali gelaran Grand Slam Terbuka Perancis, Mauresmo setelah dia berpisah dengan juara lapan kali kejuaraan utama, Ivan Lendl.
Dia mendedahkan mengenai kisah di sebalik pelantikan Mauresmo kepada Rosemary Reed, penerbit bersama program baharu Sky Sports, Driving Force, dengan ibu Murray, Judy menjelaskan bagaimana kerjasama tersebut telah mewujudkan satu analisis berbeza daripada para pemain dan media berbanding ketika dibimbing jurulatih lelaki.
Bintang tenis Scotland itu bekerjasama dengan jurulatih berusia 41 tahun yang juga merupakan bekas pemain No. 1 dunia, selama hampir dua tahun dan pada satu peringkat, Murray berjaya melonjak ke kedudukan No. 2 dunia sebelum mereka menamatkan kerjasama tersebut pada Mei 2016.
Sewaktu bercakap di dalam Driving Force, sebuah program yang memberi fokus kepada 11 atlet wanita sepanjang 11 minggu bersiaran, Murray percaya Mauresmo dikritik lebih teruk berbanding jurulatihnya sebelum ini di atas kegagalannya memenangi Grand Slam hanya kerana dia seorang wanita.
“Media membuat laporan berita sewaktu saya sedang menimbangkan untuk bekerjasama dengan jurulatih wanita.
“Saya mula menerima mesej daripada pemain lain dan juga jurulatih mereka yang menyatakan ‘Saya tidak percaya anda cuba bermain dengan media. Anda sepatutnya memberitahu mereka esok bahawa anda sedia menimbangkan untuk bekerja dengan seekor anjing.’ Dan perkara seumpama itu.
“Saya hanya mampu berkata, ‘Wow.’ Saya tidak pernah berdepan pengalaman sedemikian sebelum ini kerana saya tidak pernah bekerja dengan jurulatih wanita dalam jelajah.
“Sebaik saya mula bekerja dengan Mauresmo, yeah, laporan media sentiasa negatif terhadap saya.
“Setiap kali saya tewas, situasi sebegini tidak pernah berlaku dalam karier saya sebelum ini, tiada sesiapa yang mempersoalkan jurulatih saya. Secara umumnya dalam tenis, hanya satu individu yang akan dipertikaikan. Bagaimanapun, sewaktu saya bekerja dengan Amelie ia tidak berlaku sedemikian.
“Salah satu kekesalan saya ialah saya tidak memenangi Grand Slam sewaktu saya bekerja dengan Amelie. Dan bagi ramai orang ia dianggap sebagai satu kegagalan kerana saya gagal berbuat demikian.
“Sebenarnya, jika pencapaian itu diambil kira, maka kesemua jurulatih saya gagal dengan saya. Dan yeah, saya seperti berasakan bahawa Amelie dihakimi secara keterlaluan oleh ramai pihak hanya kerana dia seorang wanita,” kata Murray. – Daily Mail – SM