Mural gergasi Agong, pemimpin diconteng, ditulis perkataan keji
MURAL gergasi yang memaparkan wajah-wajah wira bangsa melawan Covid-19 termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada dinding di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 menjadi mangsa vandalisme.
Lebih biadap murah yang dilukis pada dinding sebuah bangunan rumah kedai itu bukan sahaja dirosakan tetapi turut diconteng dengan perkataan yang tidak sepatutnya.
Wajah pada mural yang turut memaparkan gambar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut disembur dengan cat merah.
Gambar mural tersebut dirosakkan juga telah dikongsi di media sosial.
Mural berkenaan dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Abdul Hadi Ramli, 27 serta Muhamad Firdaus Nordin, 26 pada awal bulan ini.
Malah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli untuk menyaksikan sendiri mural gergasi potret baginda pada 10 Julai lalu.
Baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada ketiga-tiga pelukis mural tersebut atas cara mereka mengekspresikan penghormatan kepada pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.
Baginda turut menzahirkan harapan agar usaha ketiga-tiga pelukis mural itu dijadikan contoh, sumber inspirasi dan teladan kepada golongan belia untuk lebih menghargai pemimpin dan negara serta menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya.
Seri Paduka turut berkenan mengurniakan surat penghargaan dan cenderamata kepada ketiga-tiga pelukis mural tersebut.
Dr Noor Hisham turut bangga dengan mural itu. Dia berkongsi gambar dengan mural tersebut di laman sosial Facebook (FB) dan Twitternya.
“Pagi ini saya berada di sini (U12 Shah Alam) dan saya dapat rasa semangat patriotik yang kuat rakyat Malaysia,” tulisnya.-SM