Mukhriz nafi kerajaan Kedah dalam keadaan ‘getir’
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menafikan kerajaan negeri itu berada dalam keadaan ‘getir’, akibat suasana politik semasa yang tidak menentu.
Beliau berkata ketika ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) memiliki 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada ‘pembelotan’ oleh mana-mana wakil rakyatnya sehingga ini.
“Yang ada tambahan satu kerusi dari UMNO yang menjadikan jumlah DUN kita 19 dan seorang speaker (DUN) menjadikannya 20… keadaan kita sekarang adalah stabil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Ditanya adakah pihaknya akan meminta semua ADUN Bersatu dan PH menandatangani akuan bersumpah (SD), Mukhriz berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan di negeri itu.
“Tidak perlu paksa mana-mana pihak untuk menandatangani SD dan sebenarnya SD tak laku pun, tak ada makna. Kalau tengok di peringkat nasional pun, lepas tandatangan SD ada yang lompat, nafikan SD yang dah tandatangan,” katanya.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS memiliki 15 kerusi, Bersatu (enam), PKR (tujuh), Amanah (empat), UMNO (dua) dan DAP (dua).
Dalam pada itu Mukhriz berkata walaupun Kedah akan menjadi negeri pembangkang, pihaknya berharap supaya hubungan baik dengan kerajaan pusat dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.
“Jemaah menteri belum dilantik, tapi tentu akan ada pemimpin di peringkat kerajaan pusat kami kenal rapat, jadi diharap hubungan itu terus baik untuk manfaat rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan mesyuarat exco yang diadakan hari ini dihadiri oleh semua barisan exco kerajaan negeri dan ia berjalan lancar seperti biasa. – BERNAMA