Mujahid dakwa Mufti Perlis berbohong, Asri nafi menipu
BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mendakwa Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbohong dalam isu pertemuan dengan pendakwah Islam dari India Dr. Zakir Naik.
Naib Presiden Amanah itu mendakwa terdapat pemalsuan fakta dalam program sembang santai isu semasa bersama Mufti Perlis yang disiarkan secara live pada 7 March pukul 9.30 malam.
“Ada beberapa perkara yang saya sedia jangkakan dari peribadi sahabat saya Mufti Perlis tetapi saya tidak pernah menjangkakan Mufti Perlis memilih untuk berbohong secara umum mengatakan saya enggan bertemu dengan Dr Zakir Naik.
“Ini bukan lagi membina persepsi tetapi pembohongan yang tidak sepatutnya menjadi contoh dari sosok tubuh seorang Mufti.
“Pada 13 March 2019 bertempat di Pejabat JAWI, Wilayah Persekutuan, saya bertemu dengan Dr Zakir Naik. Saya menjelaskan sikap kerajaan tentang kenyataan kontraversinya dan berkesempatan menjelaskan dasar RLA kepadanya, kata Mujahid dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, pertemuan dengan pendakwah kontroversi itu berjalan dengan penuh kemesraan dan mereka menikmati makan tengahari bersama sambil bertukar pandangan tentang dakwah dan keberkesanannya dalam masyarakat berbagai agama dan kaum di Malaysia.
Dalam program sembang santai, Mohd. Asri semasa menjawab soalan menjawab soalan tentang isu-isu di bawah Menteri Agama yang lepas menyebut: “Saya bagitahu menteri berkenaan…yang transgender you panggil datang, yang pendakwah ini kalau tak setuju pun panggillah datang. Masa itu tidak mahu, masa tu tak nak”.
Dalam jawapan balasnya, Mohd. Asri menegaskan Mujahid sememangnya memberikan jawapan tidak mahu berjumpa dengan Zakir.
Katanya, Dr Mujahid bertemu dengan transgender Nisha Ayub pada pada 11 Ogos 2018 manakala isu berkaitan Zakir panas pada Julai 2018.
“Saya sebenarnya tidak mahu memberitahu hal perhubungan secara peribadi. Namun, memandang Dr Mujahid telah menulis, saya terpaksa menyebut di sini dan beliau mengetahui kebenaran apa yang saya sebut ini.
“Semasa polemik panas isu DZN, saya menghantar mesej peribadi kepada beliau mencadangkan beliau bertemu DZN sendiri. Jawapan beliau kepada saya semasa itu beliau enggan.
“Alasan beliau: “Mereka ini dah macam menyembah Zakir Naik”. Beliau merujuk kepada para pembela DZN. Saya tidak simpan mesej itu lagi. Allah menjadi saksi apa yang saya sebut. Maka, atas alasan inilah, saya menyebut dalam dialog tersebut “masa itu tidak mahu, masa tu tak nak”,” katanya.
Menurut Mohd. Asri, Mujahid hanya bertemu Zakir pada 13 Mac 2019. Pada ketika itu segala bantahan, pengalaman dan persepsi sudah cukup menebal sementara keadaan dan imej Pakatan Harapan di mata majoriti Umat Islam sukar diselamatkan.
Isu berkaitan Zakir menjadi ketika pemerintahan Pakatan Harapan. Beberapa pemimpin PH khususnya DAP menggesa Zakir dihantar pulang ke India selepas terlibat dalam beberapa kontroversi.-SM-SM