Safawi Rasid pemain paling bernilai ABK 2019
PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang berlangsung di Bangi, malam ini.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Muhammad Safawi, 22, berjaya mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lepas, dengan rekod pemain paling muda memenangi anugerah MVP.
Muhammad Safawi yang menikmati kemuncak karier selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut, juga dinobatkan Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular.
JDT mendominasi sebahagian besar anugerah ABK 2019 apabila Muhammad Akhyar Abdul Rashid merangkul gelaran Pemain Muda Harapan, sementara anugerah Pemain Import Terbaik menjadi milik pemain import dari Brazil Diogo Luis Santo.
Penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik, manakala kapten JDT, Harris Harrun dipilih menjadi Pemain ASEAN Terbaik.
Sementara itu, pemain naturalisasi pertama negara dan tonggak pasukan Pahang, Mohamadou Sumareh diangkat sebagai Pemain Tengah Terbaik dan jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik.
Pemain Perak, Shahrul Mohd Saad mempertahankan gelaran dimenanginya pada ABK 2018 apabila dinobatkan selaku Pertahanan Terbaik.
Pemilihan calon kali ini dibuat menerusi Jawatankuasa Saringan ABK 2019, sebelum pemenang ditentukan oleh 23 jurulatih, 23 kapten dan 23 wakil media tempatan, manakala bagi pemenang kategori utama MVP ditentukan menerusi undian lima anggota jawatankuasa yang dilantik.
Berikut adalah senarai penerima anugerah pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019:
Pemain Paling Bernilai: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Penyerang Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Pemain Tengah Terbaik: Mohamadou Sumareh (Pahang)
Pertahanan Terbaik: Shahrul Saad (Perak)
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Jurulatih Terbaik: Dollah Salleh (Pahang)
Pemain Muda Harapan: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT)
Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)
Pemain Import Terbaik: Diogo Luis Santo (JDT)
Kasut Emas: Fernando Rodriguez (Kedah)
Pemain Paling Popular: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Pasukan Terbaik: JDT
Penyokong Terbaik: JDT
Pemain Terbaik AFL Liga M3: Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Kelantan United FC)
Pasukan Terbaik AFL Liga M3: Armed Forces FC
Anugerah Mesra Media: B. Satiananthan (Selangor)
Anugerah Fair Play: Terengganu FC II
Media Sosial Terbaik: JDT
Laman Web Terbaik: johorsoutherntigers.com.my
Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super): Muhammad Safawi Rasid (8 gol) JDT
Penjaring Terbanyak (Liga Super): Kpah Sherman (14 gol) PKNS FC
Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Premier): Bobby Gonzales (9 gol) Sarawak
Penjaring Terbanyak (Liga Premier): Zarko Korac (13 gol) UiTM FC
Anugerah Pengadil Berpotensi: Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah
Anugerah Komuniti: The Ohana Project
Anugerah Persahabatan: Datuk Lee Chong Wei
Anugerah Persahabatan: Datuk Nicol David
Fan XI:
Jurulatih: Aidil Sharin Sahak (Kedah)
Penjaga Gol: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)
Pertahanan: Mohd Rizal Mohd Ghazali, Renan Alves, Muhammad Shakir Hamzah (Kedah); La’Vere Corbin Ong (JDT)
Pemain Tengah: Lee Tuck (Terengganu FC), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Brendan Gan (Perak)
Penyerang: Safawi Rasid, Diogo Luis Santo, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT) — BERNAMA