Rencah Hidup

Mudahnya kalau cukup 10 tahun, kereta kena beli baharu!

NAK beli satu-satu aset seperti kereta bukan sepeti petik daun di pokok kerana bukan semua orang berkemampuan untuk membeli kereta dengan mudah.

Banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk kewangan kerana bukan sahaja untuk membuat bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank yang memberi pinjaman (termasuk kadar bunga atau interest yang turun naik) tapi juga perlu diambil kira petrol, tol dan penyelenggaraan kereta.

Ya benar kalau terlalu berkira, sampai bilapun rasa takut nak beli kereta tetapi selepas membeli kereta idaman maka komitmen bulan bayaran ansuran tidak boleh ‘miss’.

Ada perjanjian di antara pihak bank dan peminjam untuk melunaskan tempoh ansuran selama lima, tujuh dan paling lama, sembilan tahun.

Selepas tempoh bayaran ansuran itu berakhir, pasti kita merasa lega kerana tidak lagi terikat dengan bayaran ansuran bulanan.

Oleh itu, baru-baru ini, apabila ada pihak yang mencadangkan idea bernas untuk penyuraian trafik atau mengurangkan kesesakan jalan raya, kereta yang berusia 10 tahun dilupuskan.

Pergh! Berpinar biji mata apabila terbayang semula ansuran bulanan selama sembilan tahun, baru setahun bebas hutang, tahun berikutnya kereta itu sudah tidak boleh digunapakai.

Mana mungkin kita semua berkemampuan untuk menukar kereta baharu atau pun berpusu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang masa.

Ada yang beranggapan, cadangan melupuskan penggunaan kereta berusia 10 tahun kerana negara jiran, Republik Singapura berbuat demikian.

Kalau kereta yang dipakai lebih 10 tahun diselenggara dengan baik mengikut jadual service dari mula kereta itu dibeli sehingga habis tempoh bayaran ansuran bulanan, modal yang harus dikeluarkan bukanlah seperti membeli kereta terpakai.

Kalau kereta yang sudah tua sehingga mencecah umur 15 atau 20 tahun, perlu menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM untuk memastikan kereta itu berada dalam keadaan tip top di atas jalan raya.

Tiada masalah atau isu pemilik kereta berbelanja lebih besar untuk dijaga atau terjaga kereta tersebut, asalkan kondisi kereta itu bagus.

Idea sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Prof. Dr. Rozmi Ismail, peraturan menetapkan kenderaan berusia 10 tahun tidak dibenarkan digunakan di jalan raya, boleh diketepikan.

Ia tidak praktikal dan bukan satu penyelesaian mengatasi kesesakan lalu lintas.

Sehubungan itu, kereta kita, kita jaga, kita selenggara dan bukannya tambah beban hutang nak kena bayar ansuran bulanan yang tiada kesudahannya… Lepas 10 tahun, beli dan tunggu lagi selepas 10 tahun.

Macam cerita filem Melayu Klasik…watak Abang Jamil dalam Madu Tiga… bergilir-gilir antara ketiga-tiga isteri sampai Abang Jamil dot dot dot. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button