Muda perlu didaftarkan dalam tempoh 15 hari – Mahkamah
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 15 hari.
Mahkamah turut memerintahkan KDN supaya membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
Pada 21 September lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Syed Saddiq serta 12 individu memulakan tindakan undang-undang berhubung keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menolak rayuan mereka untuk mendaftarkan MUDA sebagai parti politik.
Sementara itu pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu bukan semata berpihak kepada Muda semata-semata, tetapi kepada sistem demokrasi negara.
“Hari ini hari yang penuh beremosi kerana tahun ini adalah tahun yang penuh rintangan dan cabaran tetapi melalui keputusan ini, kami ada iltizam dan semangat untuk berjuang demi negara tercinta selepas setahun setengah melalui cabaran serta ugutan (dalam mendaftarkan Muda).
“Keputusan hari ini bukan ingin memusnahkan Malaysia, tetapi membangunkan negara, memperkasa politik khidmat, mengangkat suara anak muda dan membina negara seperti sebuah rumah yang mewakili seluruh rakyat Malaysia.
“Perjalanan kami bermula hari ini dan kita akan buktikan pada rakyat bahawa kami ada untuk bekerja buat mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini. -SM