Muafakat Presiden, timbalan rungkai kemelut jadi contoh tangani konflik PKR
PERMUAFAKATAN antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam merungkai kemelut menjadi contoh tauladan kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK) menangani konflik dalaman parti pada masa depan.
Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata permuafakatan antara kedua-dua pemimpin tertinggi parti membuktikan semua ahli PKR sentiasa bertungkus lumus menyelesaikan masalah dan mampu mendepani pelbagai cabaran demi kepentingan bersama.
“Dalam tempoh kurang dari 24 jam Presiden dan Timbalan Presiden dapat duduk bersama-sama berbincang, merungkai dan mencari jalan untuk bekerjasama dalam usaha menguatkan parti yang dalam tempoh beberapa bulan mungkin berbeza pandangan.
“Namun dalam kongres ini kita bersatu hati dengan meletakkan semua perbezaan di tepi bagi memastikan parti ini diangkat bersama-sama,” katanya dalam ucapan aluan yang disambut dengan tepukan gemeruh kira-kira 2,000 perwakilan dan penyokong yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.
Perasmian serentak itu disempurnakan oleh Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Turut hadir Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha, Ketua Pemuda Harapan Nasional Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Merujuk kepada pergeseran yang dikatakan berlaku antara Anwar dan Mohamed Azmin serta perdamaian yang dicapai pada saat akhir menjelang kongres tahunan semalam, Akmal Nasrullah, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, berkata kesatuan kedua-dua pemimpin itu menjadi panduan kepada AMK dalam menghadapi masalah.
Sementara itu, Haniza dalam ucapannya menegaskan dalam usaha mendukung hasrat dan perjuangan parti, wanita PKR perlu terus memainkan peranan penting dalam parti.
Jelasnya sebagai golongan majoriti dengan jumlah hampir 400,000 anggota dalam parti, wanita merupakan ‘tulang belakang’ yang berperanan menyatukan seluruh anggota PKR.
“Apa juga yang jadi datang dan menjadi penghalang, jadikan sebagai selingan hidup untuk wanita PKR untuk terus fokus kepada merealisasikan matlamat parti dan kerajaan.” katanya.
Beliau turut menegaskan perbezaan pendapat dalam parti tidak seharusnya menjadi penghinaan sebaliknya perlu diraikan seperti yang diajar oleh parti untuk menerima kepelbagaian pendapat.
Esok, dijangkakan kira-kira 500 perwakilan sayap wanita dan 1,088 perwakilan AMK akan bersidang secara berasingan di sini.
Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual menyempurnakan majlis penutupan bersama kongres kedua-dua sayap itu. – BERNAMA