fbpx
Politik

Hubungan baik dan positif dengan presiden – Mohamed Azmin

TIMBALAN Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau mempunyai hubungan baik dan positif dengan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hubungan kerja saya dengan presiden, majlis pimpinan pusat, AMK, wanita sentiasa baik dan positif. Cuma media berasa pelik dalam 60 tahun media melaporkan sebuah parti yang tidak boleh ada perbezaan pandangan dalam kepimpinan.

“Jadi apabila ditengok presiden dan timbalan berbeza pandangan media terkejut kerana pelik tetapi bagi kami tidak, ini demokrasi sihat. Presiden, timbalan presiden, ketua AMK, ketua wanita bersikap cukup positif untuk bangunkan generasi baharu yang kritis tetapi berpegang kepada fakta dan ilmu yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan serentak Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh malam tadi.

Menjawab pertanyaan tentang sebab beliau tidak hadir mesyuarat Biro Politik PKR, beliau berkata semua perkara itu telah dibincangkan dengan Anwar dan kepimpinan tertinggi parti, bagaimanapun beliau tidak berkongsi dengan media sebab ketidakhadiran itu.

“Presiden ambil maklum penjelasan itu, ini perkara dibincangkan dalam parti…yang penting media melaporkan Keadilan bertambah kuat dan jitu,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan dalam sebuah parti yang cukup dinamik dan mempertahankan prinsip demokrasi seperti PKR, terdapat pandangan serta pendekatan yang berbeza dalam melaksana yang terbaik untuk parti. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button