Nasional

MTVET perakui penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri – PM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperakui penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri.
Ismail Sabri berkata, badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.
“Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri sebelum itu mempengerusikan mesyuarat tersebut secara telesidang yang dihadiri 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.
Katanya, mesyuarat itu juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.
“Sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat itu turut bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET.
Bagaimanapun, proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET akan datang.
Inisiatif itu katanya dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button