Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) disarankan memberikan perhatian kepada tiga perkara untuk memastikannya dapat terus memberikan nilai tambah kepada industri sawit negara.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara pertama adalah MSPO perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah.
“Oleh itu, kementerian akan memastikan skim pensijilan MSPO sentiasa ditambah baik supaya dapat kekal relevan demi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, terutamanya berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penebangan hutan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran ulang tahun MSPO ke-10 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) kementerian Datuk Abdul Hadi Omar.
Menurut Johari, perkara kedua adalah mengadakan sesi libat urus yang efektif dengan pemegang taruh seperti pembuat dasar, persatuan pengguna, badan bukan kerajaan dan peniaga bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai inisiatif dan komitmen Malaysia.
“Melalui langkah ini, MSPO akan diiktiraf oleh komuniti perniagaan dan pengguna antarabangsa. MSPO mesti lebih aktif dalam melibatkan diri dalam mana-mana forum atau persidangan tempatan dan antarabangsa khususnya yang membincangkan isu berkaitan kemampanan atau industri minyak masak dunia,” katanya.
Beliau berkata aspek ketiga yang perlu diberikan perhatian adalah kesemua minyak sawit yang dikeluarkan oleh pengusaha yang dipersijilkan oleh MSPO mesti meletakkan logo MSPO pada produk minyak sawit yang dijual sama ada di pasaran tempatan atau antarabangsa.
“Hal ini penting sebagai satu langkah untuk menjadikan MSPO sebagai badan pensijilan yang boleh dipercayai dan seterusnya kerajaan boleh menjadi benteng pertahanan yang utama dalam menangani persepsi negatif terhadap industri sawit.
Sehubungan itu, beliau berkata MSPO akan melancarkan Pelan Tindakan Strategi MSPO2024-2026, yang berteraskan tiga strategi utama iaitu membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai; memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO; dan memperluas pengiktirafan dan penerimaan MSPO. – SM