MRA mengambil inisiatif melancarkan Kempen Infaq Ramadan
Bulan Ramadan adalah bulan barakah di mana Umat Islam melatih diri untuk menginsafi keadaan golongan yang dhaif dan tidak mampu merasai nikmat makanan dan minuman akibat menghadapi situasi konflik seperti wabak, bencana dan peperangan.
Di Malaysia, sambutan Ramadan kali ini tentunya amat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana umat Islam tidak dapat menunaikan solat tarawikh berjemaah di masjid dan surau kerana melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suasana normal baharu ini menghadkan perkumpulan beramai-ramai bagi membendung wabak jangkitan Covid-19.
Malaysian Relief Agency (MRA) bersoladiriti bersama rakyat Malaysia untuk memastikan Ramadan kali ini disambut dengan penuh semangat kesyukuran, kesabaran dan rasa keinsafan yang mendalam. MRA mengajak semua golongan masyarakat agar membantu umat Islam yang sedang menderita kebuluran, kesengsaraan dan ujian sewaktu mengharungi Ramadhan tahun ini.
Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman sebagaimana seperti tahun-tahun yang lepas, MRA mengambil inisiatif untuk melancarkan Kempen Infaq Ramadan yang menyasarkan bantuan sebanyak RM 500,000 bagi menyantuni para asnaf.
Bantuan ini berupa pek makanan asas dan hidangan iftar untuk mereka nikmati sewaktu bersahur dan berbuka puasa.
Ia diagihkan khusus untuk umat Islam di Malaysia dan juga negara-negara yang memerlukan seperti Yaman, Palestin, Syria, Selatan Thailand, Somalia dan Bangladesh amnya.
Asnaf yang akan disantuni terdiri daripada golongan fakir miskin di pendalaman dan bandar, anak yatim, masyarakat orang asli, muallaf, OKU dan gelandangan kota.
Semenjak PKP bermula, MRA telah menggerakkan bantuan melalui 10 cawangan negerinya ke seluruh negara.
Sehingga kini, MRA telah menyalurkan sumbangan bernilai RM 7 juta di dalam bentuk barangan perubatan dan barangan bukan perubatan hasil sumbangan syarikat, yayasan dan orang perseorangan.
Sumbangan ini telah disampaikan kepada barisan hadapan dan fasiliti KKM, anggota pertahanan awam dan juga golongan asnaf yang memerlukan.
Terbaharu, MRA telah mengedarkan 5000 sut pakaian keselamatan peribadi (PPE), 175,500 unit topeng muka 3 lapis (3-ply masks), 5,280 unit pelindung muka (face shield) dan 1400 unit topeng muka jenis N95 hasil sumbangan syarikat the Edge dan MrDIY melalui inisiatif Kempen Demi Negara.
Sumbangan peralatan perubatan ini akan memudahkan barisan hadapan melaksanakan tugas mereka di Hospital dan Pusat Kesihatan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Melalui inisiatif yang sama, 65 unit mesin pernafasan telah di hantar ke Sabah dan Sarawak bagi kegunaan hospital yang memerlukan.
Daripada jumlah itu 35 unit adalah mesin ventilator pernafasan dan 30 unit lagi adalah alat penumpu oksigen (oxygen concentrator) yang dihantar melalui logistik udara yang dikelolakan oleh pihak TUDM secara percuma.
MRA juga ingin mengambil perhatian mengenai isu masyarakat pelarian yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini.
MRA ingin menegaskan agar pihak berwajib perlu bersifat inklusif di dalam menangani golongan pelarian khususnya di dalam membuat saringan, menerima rawatan dan mendapatkan perlindungan sewaktu wabak covid-19 sedang merebak.
Golongan pelarian yang terdiri daripada pelarian Rohingya, Sudan, Somalia, Yaman, Afghanistan dan Syria ini tidak mendapat akses kesihatan yang sewajarnya dan boleh menjadi kluster wabak jika tidak dibendung dari awal.
MRA menasihatkan golongan pelarian ini agar mengikut nasihat penjagaan kesihatan berdasarkan panduan yang telah diedarkan oleh pihak UNHCR iaitu duduk di rumah, menjaga kebersihan diri, sentiasa membasuh tangan, tidak berkumpul beramai-ramai dan mengamalkan penjarakan sosial.
Mereka yang didapati tidak sihat perlu mendapatkan rawatan segera di pusat saringan dan klinik yang telah ditetapkan oleh pihak KKM.
MRA amat mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia ke Kempen Infaq Ramadhan MRA. Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 9820 6365 atau sila lawati http://www.mra.my atau fb Malaysian Relief Agency untuk maklumat lanjut. – SM