Nasional

Adik-beradik kongsi satu telefon pintar untuk belajar dalam talian

TIADA pilihan lain selain perlu menunggu giliran dengan adik-beradik lain untuk mengikuti sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam talian dengan hanya menggunakan satu telefon pintar sepanjang sesi persekolahan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahu tidak mahu, situasi ini terpaksa dilalui oleh beberapa pelajar yang tinggal di kawasan ladang dan pulau di sekitar daerah ini dan daerah berhampiran kerana bagi mereka apa yang penting pembelajaran dapat diteruskan meskipun capaian internet tidak efisien serta ketidakmampuan memiliki peranti elektronik menjadi cabaran.

Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Semporna, Sabah yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah berkata dia berkongsi satu telefon pintar milik ibunya dengan tiga lagi adik-beradiknya berumur 10, 13, dan 14 tahun bagi mengikuti sesi PdPc dalam talian diadakan guru masing-masing.

“Telefon ibu adalah satu-satunya medium untuk kami meneruskan sesi PdPc dalam talian. Ini sahaja yang kami mampu. Apa yang penting pembelajaran masih tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sarah, 15, yang tinggal di sebuah ladang kelapa sawit terletak kira-kira 23 kilometer dari Semporna berkata ibunya yang merupakan seorang suri rumah menyarankan mereka menggunakan telefon pintar itu mengikut pembahagian masa ditetapkan supaya lebih teratur.

“Tiga adik saya akan menggunakan telefon pintar ibu pada waktu pagi dan petang, manakala giliran saya pula pada waktu malam. Kami diperuntukkan tiga jam setiap seorang untuk menyertai sesi PdPc dalam talian.

“Selain itu, saya akan mengambil masa dua hingga tiga hari menyiapkan dan menghantar tugasan diberikan guru memandangkan akses internet kurang efisien. Namun, saya akan memaklumkan kepada guru sekiranya lambat menghantar tugasan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Nurazlizamudin Nurdin, 15, berkata dia juga terpaksa berkongsi telefon pintar ibunya secara bergilir-gilir bersama dua lagi adik-beradik lain masing-masing berumur 17 dan 10 tahun.

“Selepas kakak dan adik saya selesai menyertai sesi PdPc pada sebelah pagi dan petang, barulah saya menggunakan telefon pintar ibu untuk membuat tugasan pada sebelah malam,” katanya yang turut mengalami masalah capaian internet rendah di kawasan tempat tinggalnya di sebuah kampung di Pulau Bum-Bum, dekat sini.

Bagi Nurul Afiqah Athirah Maksudin, 12, dari sekolah rendah dalam ladang kira-kira 89 kilometer dari bandar Lahad Datu, dia mengambil masa dua jam sehari mengikuti PdPc dalam talian iaitu pada 9.00 hingga 10.00 pagi dan 3.00 hingga 4.00 petang menggunakan telefon pintar ibunya atau meminjam telefon pintar kakaknya yang juga pelajar tingkatan tiga.

“Saya mengambil masa lebih kurang sehari untuk menyiapkan tugasan diberikan guru. Saya akan mengambil gambar tugasan terlebih dahulu dan menghantarnya melalui aplikasi WhatsApp. Kelajuan internet yang rendah adakalanya melambatkan proses ini termasuk membuka pautan tugasan.

“Atas sebab itu, saya lebih gemar dengan kaedah pembelajaran di dalam kelas berbanding dalam talian kerana saya boleh merujuk terus dengan guru secara langsung untuk mendapatkan penerangan,” kata anak kedua daripada empat beradik yang bercita-cita menjadi seorang guru. – BERNAMA

(Visited 847 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button