Ekonomi

MR D.I.Y., MPHS bekerjasama bersihkan Sg. Kedondong

PARA pencinta alam kini boleh bergembira kerana salah satu sungai di Selangor, Sungai Kedondong telah dibersihkan dengan rapi. Inisiatif ini adalah usahasama MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Kedua-dua organisasi ini telah berganding bahu untuk membuat persediaan menyambut kedatangan para pengunjung ke lokasi tarikan alam semula jadi yang terkenal itu memandangkan aktiviti-aktiviti rekreasi luar rumah telah dibenarkan semula.

Aktiviti selama dua jam itu melibatkan 80 sukarelawan yang telah membersihkan kawasan di sekeliling sungai dan menjalankan kerja-kerja pengindahan ke atas kemudahan di kawasan rekreasi tersebut. Papan tanda khidmat masyarakat juga telah dipasang untuk memberi peringatan kepada para pengunjung untuk menjaga kebersihan di kawasan tersebut.

Selain daripada MR D.I.Y. dan MPHS, para sukarelawan juga terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta masyarakat Orang Asli dari Kampung Songkok.

Pengerusi MR D.I.Y. Group, Datuk’ Azlam Shah Alias dalam ucapan pembukaannya berkata, “Sebagai perniagaan yang berasal dari negara ini, MR D.I.Y. ingin memainkan peranan dalam memastikan taman, sungai dan lokasi tarikan alam semula jadi dilindungi untuk memastikan masa depan yang mampan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini bermula dengan mendidik pengunjung untuk menjaga keindahan kawasan tersebut dan meninggalkan impak sekecil yang mungkin. Ini merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif yang telah kami rancang memandangkan cuti sekolah hujung tahun dan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.

“Kami ingin berterima kasih kepada MPHS kerana sudi bekerjasama dengan kami untuk menganjurkan aktiviti pembersihan ini dan kepada para sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga pada hari ini. Ternyata dengan kerjasama semua pihak, kerja kita menjadi lebih mudah!”

Beliau menambah bahawa orang ramai perlu bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di lokasi-lokasi tarikan alam sambil menyentuh mengenai kejayaan MR D.I.Y baru-baru ini dalam memperkenalkan beg guna semula di cawangan-cawangannya.

“Dalam hanya tiga bulan – Julai hingga September tahun ini – kira-kira 120,000 beg guna semula telah dibeli oleh para pelanggan di cawangan-cawangan kami. Ini membuktikan bahawa orang ramai menyokong pendekatan yang lebih mampan dalam kehidupan mereka, dan kami akan terus menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka berbuat demikian,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd  berkata, “MPHS gembira dengan sokongan yang diberikan oleh MR D.I.Y. Memandangkan aktiviti pelancongan telah dibuka semula, lokasi-lokasi tarikan alam semula jadi di Hulu Selangor termasuk Sg. Kedondong telah menarik begitu banyak pengunjung pada hujung minggu.

“Walau bagaimanapun, ini turut membawa kepada masalah seperti pembuangan sampah merata-rata yang telah menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung lain. Atas usaha sukarelawan, kami berjaya membersihkan semula Sg. Kedondong hari ini. Dalam jangka panjang, kami berharap agar orang ramai akan memainkan peranan untuk turut serta menjaga kebersihan di Sg. Kedondong supaya usaha para sukarelawan hari ini tidak sia-sia.”

Tambah beliau, MPHS komited untuk menjadikan Hulu Selangor sebuah bandar rendah karbon menjelang 2030 dengan melaksanakan amalan-amalan kelestarian.

Program ini adalah satu usaha pihak majlis untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-17 oleh Usaha Sama untuk Mencapai Matlamat – Bangsa-Bangsa Bersatu. “Isu kebersihan perlu ditangani segera dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan semua matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai.

“MPHS berharap agar kerjasama dengan badan korporat seperti ini boleh diteruskan dan diperluas di masa hadapan, selari dengan arah tuju MPHS iaitu urbanisasi untuk semua,” tambah Mohd. Hasry.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button