Nasional

MPI kehilangan penceramah berstatus lima bintang

Karya beliau yang banyak disiarkan di dada-dada akhbar mengenai undang-undang ditulis dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang biasa, menyebabkan orang tertarik untuk menatapnya.

Beliau adalah Datuk Salleh Buang yang kembali ke rahmatullah pada pagi 11 Mei 2022 di Alor Setar, Kedah, di mana beliau bermastautin selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan sebagai peguam kanan Persekutuan. Alor Setar adalah tempat asal isterinya.

Allahyarham asalnya anak kelahiran Johor dan setelah bersara pernah berkhidmat sebagai orang akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan profesor tamu di Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bharu.

Dan selama 14 tahun sosok yang bernama Salleh Buang mengajar subjek media dan undang-undang untuk program-program latihan MPI.

Kerana itu, apabila MPI mendapat khabar duka, pemergiannya ke alam abadi pada pagi 11 Mei 2022, MPI sukar mempercayainya walhal tahu sejak waktu kebelakangan ini, keadaaan allahyarham sedikit uzur.

Tetapi terpaksa reda dengan pemergiannya.

Semasa hayatnya, allahyarham adalah seorang yang komited untuk menyebarkan ilmu dan pengetahuan mendalamnya mengenai undang-undang media kepada para wartawan.

Apabila diundang untuk berceramah, beliau tidak menolaknya.

Ceramah terakhir allahyarham dengan MPI sepatutnya diadakan pada hujung Mei 2022. Beliau tetap ghairah untuk mengajar, tetapi dengan permintaan supaya kelas itu diadakan disebuah hotel di Putrajaya, demi memudahkan pergerakannya.

MPI akur dengan permintaan itu kerana tahu keadaan kesihatannya tidak memungkinkan dia naik ke pusat latihan MPI yang terletak di tingkat 2, Cyberjaya Business Park.

Benarlah kata orang, manusia merancang, Allah SWT juga merancang untuk kita semua.

Bagi MPI, pemergian allahyarham Datuk Salleh Buang adalah satu kehilangan besar. Beliau ialah seorang penceramah berstatus lima bintang untuk MPI.

Sebagai penceramah, allahyarham Datuk Salleh memang bijak untuk memahami kehendak para peserta.

Beliau tahu bahawa undang-undang media adalah subjek yang membosankan kalau penyampainya tidak tahu untuk mengajar mata pelajaran tersebut dengan cara yang menyeronokkan.

Justeru, ceramah-ceramah allahyarham senantiasa dihiasai dengan jenaka dan lawak yang ada kaitannya dengan para peguam, para hakim dan pengamal media.

Kajian kes sebenarnya mengenai undang-undang berkaitan media seperti memfitnah, memplagiat, melanggar hak cipta, akta rahsia rasmi dan lain-lain menjadikan para peserta memahami dengan jelas apa-apa yang akan para wartawan alami jika mereka melanggar undang-undang, baik yang khusus mengenai media dan kewartawanan atau secara tak langsung membabitkan para wartawan sebagai seorang warganegara.

Contoh-contoh yang berlaku di luar negara berkaitan media dan undang-undang juga didedahkan kepada para peserta yang mengikuti ceramah sebagai perbandingan dengan apa yang berlaku di negara ini.

Semoga segala ilmu yang disampaikan oleh allahyarham kepada ratusan pengamal media di negara akan terus dimanfaatkan oleh penerimanya dan allahyarham diberi ganjaran yang setimpal di dunia abadi.

Pihak MPI merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga allahyarham.

Moga allahyarham tenang di alam di mana kita semua akan kembali suatu hari nanti.

Amin ya rabalalamin.

Artikel dipetik dari tulisan Chamil Wariya di https://voamedia.home.blog/2022/05/12/mpi-kehilangan-penceramah-berstatus-lima-bintang/

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button