Mourinho ‘menyampuk’ temu bual BBC bersama Son Heung-min
JOSE Mourinho menyampuk sewaktu Son Heung-min sedang di temu bual apabila menyatakan Harry Kane yang sepatutnya dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Walaupun bintang antarabangsa Korea Selatan itu meledakkan empat gol sewaktu Spurs melakar kemenangan 5-2 ke atas Southampton.
Heung-min diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, tetapi pengurusnya berpendapat anugerah itu sewajarnya diberikan kepada Kane, yang turut menjaringkan gol dan menjadi perancang kepada kesemua jaringan rakan sepasukannya itu.
Mourinho yang sedang berjalan sewaktu BBC menemu bual Heung-min, telah menyampuk perbualan yang sedang berlangsung sambil bertanya: “Pemain Terbaik Perlawanan – Harry Kane?”
Heung-min kemudian menjawab: “Benar, itu yang saya mahu katakan.
“Saya akan katakan Harry adalah Pemain Terbaik Perlawanan kerana dia menjaringkan satu gol dan menyempurnakan empat bantuan.
“Dengan Harry, kami telah lama main bersama, ini merupakan musim keenam.
“Kami saling mengenali, dan sentiasa mahukan hubungan yang baik ketika di dalam ataupun di luar padang.
“Saya rasa kami telah bekerja keras untuk memiliki hubungan yang lebih baik, malah lebih bagus daripada sekarang.
“Jadi cukup jelas, ia masih belum sempurna, tetapi kami akan terus meningkatkan persefahaman kepada yang lebih sempurna.”
Kedua-dua pemain itu, kini sudah boleh mengintai peluang bermain di samping Gareth Bale, yang kembali ke pangkuan Tottenham.
Tujuh tahun selepas menetap di ibu negara Sepanyol itu, Bale akhirnya pulang menerusi pinjaman jangka panjang dari Real Madrid.
Bale sendiri gembira untuk bergandingan bersama-sama Kane dan juga Heung-min.
“Harry telah mempamerkan aksi yang cemerlang sejak bersama skuad utama Spurs dan dia juga menjaringkan banyak gol.
“Berpeluang bermain bersamanya dan juga Son (Heung-min), ia satu prospek yang menerujakan. Kami semua mahu saling membantu antara satu sama lain, tetapi sasaran utama kami ialah memberikan yang terbaik buat pasukan.
“Jika kami berusaha menuju ke arah yang sama, maka musim ini menjanjikan sesuatu yang menarik,” kata Bale kepada BT Sport. – The Sun UK – SM