Nasional

MOTAC yakin sektor kebudayaan mampu sumbang RM300 juta

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin sektor kebudayaan diramal dapat menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM300 juta bagi tahun 2022.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, sektor berkenaan telah menunjukkan prestasi yang amat baik sepanjang 2019 apabila menyumbang sebanyak RM585 juta kepada pendapatan negara.

Bagaimanapun menurutnya, pada tahun 2020 pendapatan dalam sektor tersebut telah menyusut kepada RM241 juta disebabkan penularan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

Sehubungan itu katanya, MOTAC mensasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM11.1 bilion dengan jangkaan kedatangan 4.5 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia sehingga hujung tahun ini.

“Walau bagaimanapun, pendapatan sektor kebudayaan kembali meningkat sebanyak RM20 juta kepada RM261 juta pada tahun 2021.

“Sektor ini walaupun berdepan dengan cabaran getir sewaktu penularan Covid-19 namun saya percaya jumlah pendapatan akan terus meningkat pada tahun 2022 dan mengikut sasaran sebanyak RM300 juta,” ujarnya pada program Magic Of The Night #Keluarga Malaysia di Dataran Sungai Melaka, Bandar Hilir, di sini malam tadi.

Santhara Kumar

Majlis itu telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Santhara berkata, seni budaya masyarakat tempatan adalah elemen penting untuk dijadikan produk pelancongan yang boleh diketengahkan secara komprehensif ke peringkat antarabangsa.

Justeru katanya, mempromosi pelancongan bertemakan akar budaya tempatan dengan mengenengahkan tradisi seni dan budaya nilai tinggi adalah merupakan asas penyemarakan pelancongan, seni dan budaya.

Menurutnya, pelaksanaan program Magic of The Night antaranya bertujuan untuk mengembalikan kerancakan sektor industri pelancongan tempatan sekali gus menyemarakkan pelancongan antarabangsa yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Mohd. Ali Mohd. Rustam menghadiri Magic Of The Night #Keluarga Malaysia di Dataran Sungai Melaka, Bandar Hilir, Melaka.

“Mengaktifkan semula persembahan seni budaya tempatan melalui inisiatif seperti ini dapat mengembalikan kemeriahan warna-warni Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, daripada perspektif kerajaan negeri Melaka, festival mega seumpama ini akan dapat memberi impak besar ke atas sektor pelancongan negara, khususnya negeri Melaka yang dapat
menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, program selingan Magic of The Night seperti Magical Melaka Food and Fruit Fest, Tourism Career Fair dan Festival Kota Selatan juga pasti akan dapat menarik perhatian pengunjung untuk turut serta.

Sehubungan itu katanya, pelbagai strategi serta inisiatif telah dan sedang diambil oleh seluruh jabatan serta agensi di bawah MOTAC bagi menarik kedatangan pelancong luar negara untuk datang ke Malaysia.

Menurutnya, antara langkah yang dilakukan ialah menyokong pemulihan perniagaan pelancongan dan kebudayaan.

“Perkara paling penting ialah memulihkan keyakinan pelancong dan memastikan kelancaran perjalanan antarabangsa dan intra-rantau, mencipta semula dan memperkasa produk atau perkhidmatan pelancongan dan kebudayaan,” ujarnya.

Katanya, Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 digubal sebagai panduan dalam menentukan hala tuju yang lebih jelas dan menyeluruh, bagi memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan negara pada masa hadapan, bersesuaian dan selari dengan tuntutan masa dan suasana sosio-budaya masyarakat kita pada hari ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button