SEMUA pengusaha industri pelancongan negara khususnya pengusaha tempat penginapan digesa memohon dana yang diperlukan melalui pinjaman yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia bertujuan untuk membangunkan dan mengembangkan lagi produk-produk pelancongan seperti premis penginapan pelancongan, kemudahan-kemudahan dan lain-lain projek yang berkaitan serta diklasifikasikan sebagai pelancongan.
Beliau berkata, tindakan itu sekaligus dapat meningkatkan serta menambahbaik infrastruktur tempat-tempat penginapan seperti hotel dan inap desa yang mana, ia dapat memberi pengalaman bermakna kepada para pengunjung atau pelancong.
“Pinjaman tersebut diwujudkan melalui Skim Infrastruktur Pelancongan (SIP) bagi membantu syarikat-syarikat berkaitan pelancongan.
“Pada ketika ini, pegawai yang bertanggungjawab telah dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyemak serta mempertimbangkan setiap permohonan bagi membantu pemain-pemain industri untuk mendapatkan bantuan serta sumber yang sepadan dalam proses pemulihan sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tanpa mengira sama ada permohonan tersebut melibatkan hotel bertaraf lima bintang ataupun hotel bajet, pihak MOTAC akan memastikan SIP ini dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan.
Kata Ting, jika diimbau kembali semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, para pengusaha hotel turut sama memainkan peranan masing-masing dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat kuarantin.
Jadi, ujar beliau, dengan adanya SIP ini maka ia membolehkan pengusaha-pengusaha hotel dan inap desa mengubahsuai premis mereka mengikut keadaan semasa dalam memenuhi permintaan pelanggan masing-masing.
Tambah beliau, mungkin beberapa hotel dan perusahaan kecil tidak berani mengambil risiko dengan berbelanja besar bagi tujuan pengubahsuaian premis perniagaan masing-masing susulan ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Namun saya yakin, dengan pinjaman kadar faedah rendah yang ditawarkan SIP ini dapat memberi nafas lega buat mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Ting menyeru pemain industri pelancongan agar bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan sentiasa mendengar aduan pengunjung dan berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut Ting dalam kenyataan yang sama, terdapat pelancong asing yang mendakwa perkhidmatan yang ditawarkan oleh segelintir pengusaha hotel atau penginapan tidak menepati piawaian yang ditetapkan termasuklah berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat juga beberapa fasiliti yang disediakan dalam keadaan uzur dan tidak selamat digunakan. Oleh yang demikian, saya sekali lagi menggesa para pemain industri pelancongan suapaya melihat semula keperluan penting masing-masing demi menarik minat pengunjung.
“Lebih-lebih lagi pada ketika ini Malaysia sedang dan akan menerima lebih ramai pelancong asing terutama dari negara-negara Asia seperti China yang yang memberi sumbangan ekonomi lebih besar kepada negara kita,” katanya. – SM
BACA Roslan dilantik KSU MOTAC berkuat kuasa hari ini
BACA MOTAC saran beli pakej pelancongan daripada pengusahaan pelancongan berlesen