
Pelakon lelaki trauma, kemaluan jadi sasaran jurusolek lelaki
SEORANG jurusolek lelaki berusia 41 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan jenayah seksual melibatkan seorang pelakon sambilan di sebuah salon rambut di Ayer Keroh, Jumaat lalu.
Memetik dari laporan M Star, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii tanpa kerelaan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa, seorang pelakon kebudayaan sambilan, mengunjungi salon milik suspek selepas ditawarkan perkhidmatan dandanan rambut secara percuma,” kata Datuk Md Nazri.
Selepas selesai sesi dandanan, suspek didakwa menawarkan perkhidmatan tambahan berupa urutan badan, yang diterima oleh mangsa kerana hubungan lama antara mereka.
“Ketika urutan dilakukan, suspek dipercayai bertindak di luar batasan apabila menghisap kemaluan mangsa sambil memegang pahanya dengan kuat,” jelasnya.
Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu segera meninggalkan salon selepas urutan selesai. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada keesokan harinya, Sabtu.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek di hadapan premis salon di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh pada Ahad sekitar jam 4.30 petang.
Menurut siasatan awal, mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kini sedang melanjutkan pengajian tahun pertama di sebuah kolej kemahiran di Bangi, Selangor. Mangsa juga bekerja sambilan sebagai pelakon kebudayaan di ibu negara
Pihak polis kini meneruskan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap suspek