Moratorium tanpa syarat selama enam bulan
Moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank serta permohonan akan dibuka pada 7 Julai depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi hari ini.
Semasa pengumuman pakej bantuan Pemerkasa Tambahan, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar.
Menurut Muhyiddin, setakat ini, lebih daripada 250,000 peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik.
“Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya.
Tambahnya, diharapkan inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. -SM