Nasional

PM umum pakej Pemulih bernilai RM150 bilion

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau Pemulih bernilai RM150 bilion.

Muhyiddin berkata, Pemulih bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan
tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

“Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan dan tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa.

“Pengusaha kedai makan dan restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal tidak dibenarkan beroperasi.

“Begitu juga pemilik kedai gunting rambut, kedai pakaian, pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan perniagaan yang terjejas
kerana sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda negara Kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion ringgit.

Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.

Katanya, Belanjawan 2021 bernilai 322.5 bilion dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.

Dalam Fokus Pertama Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, antaranya kerajaan memperuntukan RM10 bilion sebagai bantuan tunai langsung termasuk kepada kumpulan M40.

“Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan. Kerajaan sedar, dalam fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan akan
menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini.

“Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan
majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian,” katanya.

Dalam fokus ketiga, kerajaan akan mempercepatkan program vaksinasi. Statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan, sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang.

Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah
lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah RM400 juta diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara.

Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung
130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini. -SM

 

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button