MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu ada bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat.
Tengku Zafrul berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Perdana Menteri dan agensi-agensi berkaitan berkenaan dengan isu moratorium dan i-Sinar.
“Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, InsyaAllah,” katanya dalam satu status di akaun Facebook miliknya hari ini.
Sementara itu, ruangan komen juga dipenuhi dengan sokongan yang meminta supaya bantuan i-sinar dan moratorium dilanjutkan.
Semalam, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat.
Malah, beliau turut memberitahu bahawa satu mesyuarat telah dilakukan besama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara.
Jelasnya, satu daripada permintaan yang sering diterima ialah berkenaan perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.
“Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini.
“Pada masa yang sama ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik Kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan Kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari KWSP.
“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya. -SM