Nasionalpilihan

Niat nak tolong, bukan nak culik

POLIS mengesahkan yang seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dibawa lari di Bandar Country Homes sebenarnya bukan mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi tadi.

“Ketika itu, pengadu, wanita berusia 54 tahun bersama anaknya yang berusia 16 tahun telah pergi ke sebuah warung di hadapan sebuah bank untuk membeli sarapan.

“Anaknya mula disedari hilang sebaik membeli sarapan dan dimaklumkan oleh peniaga di kawasan berhampiran bahawa anaknya telah dilihat mengikut seorang lelaki tempatan dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna kelabu,” katanya.

Menurut Zainal Mohamed, seorang kenalan wanita itu telah memuat naik video kejadian dan orang awam telah menemukan anaknya di Saujana Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Jelasnya, remaja itu ditemukan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati ketika di warung tersebut, remaja itu telah berjalan seorang diri dan menahan sebuah kenderaan yang lalu di kawasan tersebut.

“Lelaki berusia 80 tahun itu kemudian telah membenarkan remaja itu untuk menaiki kenderaannya,” katanya.

Ujarnya, siasatan juga mendapati lelaki itu membenarkan remaja itu menaiki kenderaan dan beranggapan bahawa dia meminta pertolongan.

Namun jelasnya, remaja itu tidak berkata apa-apa sehinggalah kenderaannya ditahan oleh orang awam di sekitar Saujana Rawang kerana dituduh membawa lari mangsa.

“Daripada siasatan yang dijalankan, kita mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah seperti yang ditularkan.

“Pengadu juga telah membuat penarikan laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” katanya. -SM

(Visited 887 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button