NAIB Presiden MIC, Datuk T. Murugiah menyarankan agar kerajaan memperluaskan skop bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakob telah mengumumkan bantuan RM100 juta bagi membaiki rumah rosak akibat banjir.
“Sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara namun bantuan ini tidak memadai berdasarkan impak banjir yang sememangnya dashyat kali ini.
“Maka saya menggesa kerajaan agar memperluaskan skop bantuan kepada mangsa banjir termasuk moratorium secara menyeluruh, pengecualian bayaran utiliti elektrik dan air serta pengecualian bayaran cukai pintu dan tanah untuk tempoh sekurang-kurang enam bulan,” katanya.
Menurut Murugiah lagi, langkah ini akan memastikan golongan terbabit tidak terbeban dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini lebih-lebih lagi tatkala impak yang wujud akibat penularan Covid-19 masih belum reda.
Murugiah berkata demikian kepada pemberita setelah meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, hari ini.
Dalam tinjauan itu, Murugiah turut menyampaikan bantuan awal berupa barangan makanan dan keperluan asas kepada hampir 400 mangsa banjir yang ditempatkan di dua buah PPS di Teluk Intan.
“Saya berkongsi simpati dan trauma yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Hampir 80,000 orang yang terjejas dan ditempatkan di PPS.
“Ramai yang tinggal sehelai sepinggang dan rumah mereka musnah sama sekali. Rata-rata mereka akan memulakan kehidupan baru, membina dari sifar apabila kembali ke kediaman mereka setelah air surut.
“Kerajaan seharusnya meneliti saranan ini dan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mangsa banjir.
“Kurangkan karenah birokrasi, pastikan tiada mangsa banjir yang terpinggir dari mendapat bantuan berkenaan,” katanya. – SM