Sukan

MOM komited pastikan Sukan Olimpik Tokyo terjamin selamat

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dalam memastikan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dapat dilaksanakan dengan lancar menerusi bantuan penerbitan Playbook (Buku Panduan) untuk para atlet serta pegawai.

Ketua Kontinjen Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Wira Lee Chong Wei berkata, buku panduan tersebut menggariskan prinsip asas yang perlu dipatuhi negara kontinjen 14 hari sebelum mereka terbang ke Jepun, sewaktu memasuki negara itu serta sepanjang berada dan ketika meninggalkan temasya.

“Kami mengalu-alukan penerbitan Playbook oleh IOC dan Jawatankuasa Penganjur.

“Langkah-langkah yang digariskan dalam versi pertama buku panduan tersebut diharapkan akan dapat dikemas kini pada April dan Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, MOM mengambil bahagian dalam sesi taklimat Ketua Kontinjen Tokyo 2020 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) mengenai buku panduan buat atlet dan pegawai yang disampaikan oleh wakil daripada IOC dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, semalam.

Jelas beliau, sebagai sumber maklumat rasmi dan berpusat untuk Sukan Olimpik Tokyo, Playbook bukan sahaja menyediakan arahan yang akan membantu dalam perancangan dan persiapan kontinjen Malaysia tetapi juga memberikan banyak penjelasan kepada atlet dan pegawai mengenai bagaimana penganjur merancang menjadikan Sukan Olimpik sebagai tempat yang selamat dan terjamin untuk negara peserta.

“Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal memberi satu pengalaman unik kepada semua orang.

“Untuk menjayakan temasya di tengah-tengah Covid-19, kami memahami akan ada syarat dan kekangan tambahan kepada atlet dan pegawai yang menuntut pengorbanan mereka dalam menyesuaikan diri dan menjadi lebih fleksibel,” ujarnya.

Justeru Chong Wei menegaskan, MOM komited dan berpegang kepada semangat solidariti dengan IOC dan Jawatankuasa Penganjur bagi memastikan atlet serta pegawai dapat memahami kekangan terbaru itu.

Tambahnya, seperti mana situasi global berkaitan Covid-19 yang terus merebak, pihaknya juga akan sentiasa bekerja rapat dengan IOC dan Jawatankuasa Penganjur serta Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan supaya atlet negara mempunyai persekitaran serta platform yang paling ideal untuk mempamerkan prestasi terbaik pada temasya tersebut kelak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button