Mohd. Asna mahu pastikan BN menang di DUN Lenggeng
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd. Asna Amin mahu memastikan BN memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Menurutnya, peluang BN kembali semula bertanding di kerusi berkenaan selepas calon Pakatan Harapan (PH) memenanginya pada PRU14 tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Beliau berkata, DUN Lenggeng dulunya adalah di bawah BN selepas menang sebanyak 13 penggal tetapi rebah pada PRU14.
“Harapan saya adalah ingin memastikan BN menang kali ini dan kita nak tunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan BN dan PH dapat diterima rakyat di DUN Lenggeng.
“Jentera saya bekerja keras bagi memenangi hati rakyat di sini dan kalau boleh saya ingin menemui setiap pelosok di Lenggeng,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban bakal berdepan saingan tiga penjuru dengan calon PN, Mohd. Fadli Che Me dan calon Bebas, Zul Azki Mat Sulop.
Pada PRU-14, kerusi tersebut dimenangi oleh PH yang diwakili oleh Suhaimi Kassim.
Mengulas lanjut Mohd Asna berkata, DUN berkenaan tidak tergugat berikutan tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali menyertai Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, dakwaan hampir 500 Pemuda UMNO Bahagian Seremban menyertai PN adalah tidak berasas.
“Saya ada maklumat tidak kurang 20 orang ahli yang pengikut bekas Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali dan bukannya 500 seperti yang didakwa,” ujarnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Asna yang pertama kali bertanding berkata, beliau yakin semua pemimpin dan ahli Pemuda UMNO khususnya di DUN Lenggeng masih setia dengan parti itu. – SM